Muhyiddin sila letak jawatan pengerusi MPN, saman David Tan, kata Puad

Muhyiddin sila letak jawatan pengerusi MPN, saman David Tan, kata Puad

Puad Zarkashi berkata, bekas perdana menteri itu juga perlu menyaman saksi perbicaraan, David Tan, yang mendakwa beliau menerima sogokan RM1.3 juta daripada UKSB.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi berkata sogokan terhadap Muhyiddin Yassin daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) menjejaskan imej kerajaan.
PETALING JAYA:
Muhyiddin Yassin sepatutnya meletak jawatan sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) sehingga beliau membersihkan namanya daripada dakwaan menerima sogokan RM1.3 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), kata Puad Zarkashi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat dakwaan dibuat terhadap Muhyiddin oleh bekas pengurus pentadbiran UKSB, David Tan dengan segera dan terperinci.

“Lebih wajar Muhyiddin letak jawatan pengerusi MPN sehingga namanya dibersihkan. Terima RM100K kononnya dana daripada 1MDB boleh didakwa. Maka tidak ada sebab Muhyiddin terkecuali.

“Mana boleh Zahid (Ahmad Zahid Hamidi) sahaja yang disiasat dan didakwa. Apatah lagi ketika itu Latheefa Koya adalah ketua pesuruhjaya SPRM dan Tommy Thomas adalah peguam negara,” katanya di Facebook.

Puad berkata, dakwaan dibuat itu serius, justeru jika tidak bersalah Muhyiddin sewajarnya mengambil tindakan terhadap saksi berkenaan yang jelas mencemarkan imejnya.

“Kalau Muhyiddin bermaruah dia mesti saman David Tan. Nama baiknya terjejas. Dia dituduh menerima rasuah. Ia juga menjejaskan imej kerajaan kerana Muhyiddin pengerusi MPN.”

Terdahulu, media melaporkan dakwaan itu timbul selepas Tan dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi, menyatakan Muhyiddin menerima dana daripada UKSB.

Bagaimanapun, bekas perdana menteri itu menafikan menerima sogokan RM1.3 juta daripada UKSB, antara Jun dan Ogos 2018.

Muhyiddin berkata, keterangan dibuat Tan yang juga saksi dalam perbicaraan rasuah Zahid adalah palsu.

Ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah bekas timbalan perdana menteri itu Jumaat lalu, Tan mendakwa dia menyimpan lejar “menteri, ahli politik dan kakitangan kerajaan” yang menerima dana daripada syarikat itu.

Nama lain turut disebut adalah Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican.

Selain itu, bekas menteri luar Anifah Aman dan bekas ketua menteri Sabah Shafie Apdal juga berada dalam senarai penerima dana daripada UKSB.

Muhyiddin, Khairy, Hishammuddin, Reezal dan Anifah kemudian menafikan menerima sebarang dana daripada UKSB, pengendali pusat sehenti di China dan sistem visa luar negara (VLN).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.