Mahkamah Tinggi boleh putus sama ada hakim sedang berkhidmat boleh disiasat, kata peguam cara negara

Mahkamah Tinggi boleh putus sama ada hakim sedang berkhidmat boleh disiasat, kata peguam cara negara

Peguam Cara Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berkata tidak ada keperluan merujuk perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.

Peguam Cara Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berkata pihak terkilan boleh membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa memutuskan sama ada agensi penguat kuasa undang-undang boleh menyiasat hakim mahkamah tertinggi yang sedang berkhidmat atau sama ada pendakwa raya boleh mengenakan pertuduhan terhadap mereka, hujah Peguam Cara Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

Justeru, tidak ada keperluan merujuk perkara itu ke Mahkamah Persekutuan, katanya.

Aktivis Haris Ibrahim dan peguam, Nur Ain Mustapa dan Sreekant Pillai, memfailkan permohonan awal bulan lalu memohon pengisytiharan, termasuk sama ada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Nazlan Mohd Ghazali, berperlembagaan.

Defendan – Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, SPRM dan kerajaan – membantah permohonan itu.

Terrirudin, yang melakukan kemunculan sulung di mahkamah sejak dilantik ke jawatan itu pada 25 Mac, berkata permohonan rujukan dibuat tiga pemohon berkenaan hanya cubaan bagi membawa keseluruhan tindakan untuk diputuskan di mahkamah tertinggi.

Beliau yang juga bekas ketua pendaftar Mahkamah Persekutuan, berkata Mahkamah Tinggi boleh memutuskan perkara terbabit dan pihak terkilan boleh merayu berhubung keputusan itu nanti.

Terrirudin berkata, permohonan berkenaan juga tidak memenuhi syarat seperti diperuntukkan (Seksyen 84) Akta Mahkamah Kehakiman.

Soalan pertama yang ingin dirujuk ke Mahkamah Persekutuan adalah sama ada badan siasatan jenayah secara sah dibenarkan menyiasat hakim mahkamah tertinggi (Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan) hanya selepas hakim itu digantung tugas.

Persoalan lain adalah sama ada pendakwa raya diberi kuasa mengarah dan melaksanakan sebarang prosiding terhadap kesalahan membabitkan hakim sedang berkhidmat di mahkamah tertinggi.

Peguam Malik Imtiaz Sarwar, yang mewakili ketiga-tiga mereka, dalam hujahannya berkata, kes ini bersesuaian untuk diputuskan mahkamah tertinggi kerana ia merupakan isu “Perlembagaan serius” berhubung badan kehakiman.

“Isu ini adalah penting untuk diselesaikan kerana turut membabitkan persepsi awam berhubung kebebasan badan kehakiman,” kata Malik, yang turut dibantu A Surendra Ananth.

Hakim Noorin Badaruddin akan membuat penghakimannya, pada 19 Julai.

Sebelum ini, SPRM menolak kritikan membabitkan siasatan terhadap Nazlan, sambil menyatakan agensi itu mempunyai kuasa menyiasat mana-mana pegawai awam, termasuk hakim.

Nazlan membuat laporan polis pada April, berhubung dakwaan dibuat blogger, Raja Petra Kamarudin, yang mengatakan beliau disiasat membabitkan sejumlah wang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya.

Nazlan adalah hakim perbicaraan yang mensabit dan menjatuhkan hukuman terhadap Najib Razak atas semua tujuh pertuduhan berhubung dana RM42 juta milik SRC International, pada 28 Julai 2020.

Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan Mahkamah Persekutuan menetapkan selama 10 hari bermula 15 Ogos bagi mendengar rayuan terakhir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.