Dakwaan ‘bersih’ hutan simpan, Otai Reformis gesa PKR siasat salah laku kerajaan Selangor

Dakwaan ‘bersih’ hutan simpan, Otai Reformis gesa PKR siasat salah laku kerajaan Selangor

Kumpulan Otai Reformis mendakwa kerajaan Selangor dikatakan membersihkan kawasan hutan simpan termasuk mengeluarkan balak bagi pembinaan kuari di Hutan Simpan Bukit Lagong.

Setiausaha Kumpulan Otai Reformis, Abdul Razak Ismail, berkata usaha mendapatkan penjelasan lanjut daripada kerajaan negeri gagal selepas maklumat berkait hutan simpan dikatakan diceroboh itu diletak sebagai ‘sulit’.
PETALING JAYA:
Kumpulan penyokong Anwar Ibrahim menggesa presiden PKR melakukan inkuiri dalaman parti itu bertujuan menyiasat dakwaan salah laku kerajaan Selangor berhubung pemberian kelulusan melakukan aktiviti komersial di kawasan hutan simpan.

Setiausaha Kumpulan Otai Reformis, Abdul Razak Ismail, membuat gesaan itu susulan tindakan terbaharu kerajaan negeri didakwa membersihkan kawasan hutan itu, termasuk mengeluarkan balak bagi pembinaan kuari di Hutan Simpan Bukit Lagong, Gombak, berkeluasan 100 ekar.

“Otai telah menerima maklumat daripada orang ramai mendedahkan kerajaan negeri meluluskan aktiviti pembersihan hutan berkeluasan 100 ekar untuk memberi laluan pembinaan sebuah kuari baru di dalam Hutan Simpan Bukit Lagong, Gombak,” katanya kepada FMT.

Katanya, selain Hutan Simpan Bukit Lagong, dua lagi kawasan, Hutan Simpan Kuala Langat Utara untuk dijadikan projek komersial pembangunan campur dan Hutan Simpan Kuala Langat Selatan bagi tanaman jagung juga perlu disiasat.

Katanya, pihaknya juga telah menghantar surat kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), pada 22 April, untuk mendapatkan penjelasan dan butiran lanjut berhubung projek di Bukit Lagong, bagaimanapun ditolak atas alasan informasi itu sebagai sulit kerana terikat mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Otai memohon mendapat maklumat di bawah Enakmen Kebebasan Maklumat (FOI Selangor 2011) tetapi terkejut menerima balasan daripada bahagian korporat SUK yang memaklumkan bahawa informasi tersebut diklasifikasikan sebagai sulit dan rahsia.

“Ini kali kedua kerajaan Selangor enggan memberi maklumat berkaitan aktiviti melibatkan hutan simpan, selain menolak mengadakan pendengaran awam mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) untuk merungkai persoalan nyahwarta melibatkan Hutan Simpan Kuala Langat Utara,” katanya.

Razak berkata, pihaknya juga curiga dengan niat sebenar kerajaan Selangor yang cuma “mengusik” tiga hutan simpan dengan memberi alasan bagi tujuan komersial atau projek bagi tujuan keselamatan makanan.

“Ia jelas bertentangan dengan usul sebulat suara tahun lepas tanpa bantahan oleh semua ADUN Selangor untuk mempertahankan hutan simpan di negeri itu,” katanya.

FMT cuba mendapatkan penjelasan wakil kerajaan negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.