Lelaki ditahan tumbuk 2 anggota polis

Lelaki ditahan tumbuk 2 anggota polis

Dua anggota polis itu cedera di bahagian tangan dan badan, manakala suspek cedera ringan akibat pergelutan itu.

Polis berkata, suspek direman empat hari sehingga Jumaat ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki ditahan kerana menumbuk dua anggota polis yang mahu menjalankan pemeriksaan terhadapnya di Taman Sri Manja, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dua anggota polis itu yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah bermotosikal cedera di bahagian tangan serta badan, manakala suspek berusia 26 tahun terbabit cedera ringan akibat pergelutan.

“Dalam kejadian 6.30 petang itu, anggota menerima aduan daripada seorang lelaki tempatan yang meminta mereka menjalankan pemeriksaan ke atas suspek dalam sebuah kenderaan di kawasan perumahan berkenaan.

“Bertindak atas aduan, anggota mengarahkan suspek keluar dari kenderaan untuk pemeriksaan badan. Suspek tiba-tiba merangkul leher seorang anggota dari belakang, lalu menumbuk muka dan perut anggota itu.

“Rakan setugasnya yang datang untuk meleraikan suspek turut ditumbuk di bahagian muka. Suspek bertindak agresif dan berlaku pergelutan ketika ditahan,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Fakhrudin berkata, semakan mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing juga didapati negatif dadah.

Katanya, suspek direman empat hari sehingga Jumaat ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.