Paxlovid belum tersedia di hospital swasta, paling ‘awal’ hujung minggu

Paxlovid belum tersedia di hospital swasta, paling ‘awal’ hujung minggu

Bekalan Paxlovid dijangka sampai ke farmasi seawal akhir minggu ini atau awal minggu depan, kata Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia Kuljit Singh.

Paxlovid dilaporkan berkesan merawat Covid-19 untuk warga emas dan kumpulan berisiko tinggi, namun dilihat kurang berkesan membabitkan golongan dewasa berisiko sederhana. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Persatuan Hospital Swasta Malaysia memaklumkan ubat antivirus oral, Paxlovid masih belum tersedia di hospital swasta.

Presidennya, Kuljit Singh, berkata pihaknya kini masih dalam proses mendapatkan mendapatkan butiran lengkap dan perjanjian dengan kerajaan.

“Semua persiapan sedang dibuat oleh beberapa hospital swasta untuk melengkapkan dokumentasi yang diperlukan agar ubat anti virus ini tersedia di fasiliti mereka,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai bersabar kerana pihaknya menjangkakan ubat berkenaan akan sampai ke farmasi seawal akhir minggu ini atau awal minggu depan.

“Diminta orang ramai untuk bersabar kerana ubat itu mungkin hanya sampai ke farmasi kami paling awal pada akhir minggu ini atau awal minggu depan,” katanya.

Beliau berkata, pihak hospital swasta akan cuba mendapatkan bekalan ubat daripada hospital awam berhampiran jika perlu.

“Persatuan hospital swasta Malaysia akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam membantu pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan terutamanya mereka yang mampu mendapatkan penjagaan kesihatan swasta,” katanya.

Awal hari ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan Paxlovid kini boleh didapati secara percuma di fasiliti kesihatan swasta.

Bagaimanapun, katanya, pesakit masih tertakluk kepada yuran perundingan dan caj lain berkaitan seperti ditentukan fasiliti terbabit.

“Klinik atau hospital swasta yang berminat untuk mendapatkan Paxlovid mesti mendapatkan bekalan daripada fasiliti kesihatan dikenal pasti yang menyimpan ubat-ubatan tersebut,” katanya pada sidang media.

Ubat keluaran Pfizer itu digunakan oleh semua hospital kerajaan untuk merawat pesakit Covid-19 kategori 2 dan 3 bergejala ringan sehingga sederhana sejak 15 Apr dengan pesakit kronik diberi keutamaan.

Sehingga 5 Jun, 1,364 pesakit pulih tanpa kesan sampingan dikesan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.