Khairy nafi terima wang daripada UKSB

Khairy nafi terima wang daripada UKSB

Menteri kesihatan itu berkata, beliau sedia membantu siasatan pihak berkuasa berhubung perkara itu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, beliau tidak pernah menerima sebarang dana politik. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menafikan beliau menerima dana daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), iaitu syarikat yang terbabit dalam perbicaraan kes rasuah Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, beliau tidak pernah menerima sebarang dana politik dan sedia membantu siasatan pihak berkuasa berhubung perkara itu.

“Saya tidak pernah menerima apa-apa secara peribadi, sama ada wang atau dana politik. Saya sedia bekerjasama jika saya dipanggil (oleh pihak berkuasa).

“Saya tidak menerima dana politik.”

Pada 13 Jun lalu, seorang bekas pengarah UKSB memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam dalam perbicaraan rasuah Zahid bahawa syarikatnya memberi wang kepada Umno Bahagian Rembau dan Khairy adalah timbalan ketua Umno bahagian terbabit.

Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani berkata, sumbangan antara RM50,000 dan RM200,000 diberikan kepada bahagian itu, tetapi bukan secara langsung atau peribadi kepada Khairy.

Ahli politik lain yang turut dinamakan oleh saksi dalam perbicaraan itu termasuk bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, bekas menteri luar Anifah Aman, Presiden Warisan Shafie Apdal, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein.

Anifah dan Muhyiddin menafikan pernah menerima sebarang wang daripada UKSB.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.