Kadar inflasi jadi fokus kerajaan dalam Bajet 2023, kata timbalan menteri

Kadar inflasi jadi fokus kerajaan dalam Bajet 2023, kata timbalan menteri

Mohd Shahar Abdullah walaupun kadar inflasi negara bukan berada pada paras tinggi berbanding negara jiran, namun kerajaan tidak memandang ringan perkara itu.

Timbalan Menteri Kewangan I Mohd Shahar Abdullah berkata, intipati Bajet 2023 yang sedang dirangka akan memberi fokus kepada empat seksyen utama iaitu kesejahteraan rakyat, perniagaan, ekonomi dan kerajaan.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan mengambil perhatian serius mengenai kadar inflasi negara dan berusaha mencari penyelesaian terbaik, termasuk merangka strategi baharu menerusi Bajet 2023, kata Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah.

Beliau berkata, kadar inflasi di Malaysia tidak berada pada paras yang tinggi berbanding negara jiran dan terkawal berikutan perbelanjaan subsidi yang besar oleh kerajaan.

“Kerajaan tidak ambil itu sebagai satu keadaan yang selesa dan kita sentiasa melihat bagaimana ruang untuk kita bantu supaya ia memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat,” katanya dalam program ‘Malaysia Petang Ini’ terbitan Bernama TV.

Beliau berkata, intipati Bajet 2023 yang sedang dirangka akan memberi fokus kepada empat seksyen utama iaitu kesejahteraan rakyat, perniagaan, ekonomi dan kerajaan.

Shahar menegaskan bahawa, kerajaan sentiasa melihat secara holistik berhubung pendekatan sedia ada dari segi pelaksanaan cukai dan dasar dalam memperkasakan Bajet 2023.

“Melalui Bajet 2023, kita akan mengukuhkan proses pemulihan negara yang kini berada dalam fasa peralihan endemik dan memudah cara pembaharuan untuk memastikan kemampanan daya tahan ekonomi kita.

“Oleh itu, Kementerian Kewangan secara berterusan mengadakan sesi libat urus secara menyeluruh bersama rakyat untuk menerima pandangan dan maklum balas mereka dalam memastikan kepentingan rakyat diutamakan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.