Beri peluang kedua calon gagal SPM 2021, gesa pakar

Beri peluang kedua calon gagal SPM 2021, gesa pakar

Pakar pendidikan berkata calon SPM 2021 yang gagal atau tidak mendapat sijil wajar diberi peluang sambung ke aliran vokasional.

Trend pelajar yang gagal mendapat sijil SPM dilihat amat membimbangkan memandangkan ia bukan angka yang sedikit, kata pakar pendidikan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pakar pendidikan berpendapat 70,455 pelajar yang tidak mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 perlu diberi peluang kedua untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran.

Anuar Ahmad dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, ini kerana kumpulan pelajar itu berdepan pelbagai tekanan termasuk sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang lama sepanjang tempoh dua tahun pandemik Covid-19 sebelum sesi bersemuka berbaki beberapa bulan sahaja disusuli peperiksaan SPM pada Mac lalu.

“Apa yang kita perlu buat untuk mereka walaupun mereka sudah habis belajar ialah kenal pasti siapa mereka dan apa masalah mereka. Beri mereka peluang kedua untuk sambung ke aliran vokasional, belajar dalam bidang kemahiran walaupun tidak ambil SPM atau gagal, sekurang-kurangnya mereka dapat diberi kemahiran bersifat teknikal.

“Itu boleh dilakukan kerana pihak sekolah ada maklumat tentang pelajar berkenaan. Mana-mana pelajar yang berminat untuk teruskan pendidikan dalam bidang teknikal kita patut beri laluan kepada mereka agar kumpulan ini tidak terus tercicir,” katanya kepada FMT.

Anuar Ahmad.

Tambahnya, suasana pandemik tidak sama dengan sebelum pandemik, kerana sebelum wabak melanda ada yang tidak mengambil SPM atas pilihan mereka.

“Dalam kes calon SPM 2021, pelajar bukannya tidak mahu ambil peperiksaan tetapi ada yang terpaksa bekerja untuk tanggung keluarga menyebabkan mereka hilang motivasi dan minat untuk belajar,” katanya.

Pada 16 Jun lalu, Ketua Pengarah Pendidikan Nur Zamani Abdol Hamid dalam sidang media sempena pengumuman keputusan SPM 2021 berkata, sejumlah 24,941 calon tidak menduduki SPM daripada 407,097 calon berdaftar di 3,382 pusat peperiksaan.

Daripada 382,156 calon yang menduduki peperiksaan, 1,655 calon atau 0.43% gagal dalam semua mata pelajaran sementara 45,514 atau 11.91% calon pula tidak layak mendapat sijil sama ada kerana tidak lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.

Mengulas lanjut Anuar berkata, trend pelajar yang gagal mendapat sijil SPM juga amat membimbangkan memandangkan ia bukan angka yang sedikit.

“Walaupun mereka yang gagal atau tidak layak terima sijil SPM boleh ambil kertas (ulangan) pada September nanti, namun terdapat kebimbangan mereka tidak akan ambil kertas ulangan itu kerana sudah bekerja,” katanya dengan menambah bahawa mereka perlu diberi bimbingan supaya mendapat sijil SPM untuk ke peringkat seterusnya.

Syed Agil Alsagoff.

Sementara itu, Syed Agil Alsagoff dari Universiti Putra Malaysia berpandangan kekurangan bimbingan fizikal bagi beberapa subjek teras dalam SPM menyebabkan ada calon kurang berkeyakinan untuk menduduki peperiksaan besar itu.

“Kekurangan persediaan mental dan fizikal untuk menghadapi sistem pembelajaran kendiri menerusi dalam talian juga boleh menimbulkan masalah emosi dan memberi persepsi kepada calon bahawa mereka harus melipatgandakan usaha untuk meneruskan pembelajaran dengan kekurangan sokongan atau bimbingan daripada guru dan rakan sebaya.

“Tambahan pula fokus calon dari luar bandar lebih bertumpu kepada membantu ibu bapa bekerja atau menjaga keluarga menjadikan mereka kurang berminat meneruskan pembelajaran dalam talian,” katanya yang turut melihat kekangan peralatan sokongan pembelajaran, khususnya bagi pelajar B40, antara isu utama yang membelenggu calon cicir SPM.

“Mereka terpaksa berkongsi satu peranti dengan adik-beradik lain menyebabkan lama-kelamaan hilang minat untuk terus menuntut ilmu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.