
PETALING JAYA: Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan bahawa negara merekodkan sifar kematian akibat Covid-19 buat kali pertamanya sejak 18 Disember 2020.
“Peralihan kepada transisi endemik juga telah diukur dan dipacu dengan data, mari kita berdoa supaya ia terus membuahkan hasil,” katanya di Twitter.
Pada April, Khairy mengumumkan bahawa negara telah masuk ke fasa peralihan ke endemik.
Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), sebanyak 35,732 kematian akibat Covid-19 direkodkan sejak pandemik bermula. Ini termasuk 28,153 kematian melibatkan rawatan di hospital dan 7,579 kematian di luar hospital (BID).