Pertumbuhan ekonomi dijangka meningkat suku kedua, ketiga, kata menteri

Pertumbuhan ekonomi dijangka meningkat suku kedua, ketiga, kata menteri

Pertumbuhan sebanyak 5% dicapai suku pertama tahun ini menjadi petunjuk prestasi ekonomi negara bertambah baik, menurut Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali.

Kerajaan akan terus memastikan situasi dan ekosistem perniagaan di negara ini kekal diyakini oleh para pelabur, kata Azmin Ali.
ALOR SETAR:
Pertumbuhan ekonomi negara dijangka terus meningkat pada suku kedua dan ketiga tahun ini, didorong oleh usaha berterusan kerajaan menarik pelaburan asing selain kejayaan program vaksinasi Covid-19.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali berkata, pertumbuhan sebanyak 5% yang dicapai pada suku pertama tahun ini turut menjadi petunjuk bahawa prestasi ekonomi negara akan terus bertambah baik.

“Ini ekoran dasar-dasar dan program yang telah dimulakan oleh (bekas perdana menteri) Muhyiddin Yassin untuk memastikan program vaksinasi Covid-19 negara dapat disegerakan. Malah kini lebih daripada 98.5% populasi dewasa telah mendapat suntikan dan seterusnya membolehkan sempadan negara dibuka.

“Susulan itu, permintaan luaran semakin meningkat dan syarikat-syarikat tempatan termasuk perusahaan kecil dan sederhana perlu meningkatkan produktiviti untuk memenuhi permintaan itu,” katanya kepada pemberita, semalam.

Terdahulu, Azmin yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, mengadakan pertemuan tertutup dengan kepimpinan parti itu di Kedah.

Mengulas selanjutnya beliau berkata, pihaknya berserta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan terus berusaha menarik lebih banyak pelaburan yang dapat mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti untuk tenaga kerja tempatan.

Kerajaan juga akan terus memastikan situasi dan ekosistem perniagaan di negara ini kekal diyakini oleh para pelabur, katanya.

Beliau juga optimis bahawa ekonomi negara kini di landasan tepat untuk pulih daripada kesan pandemik Covid-19 dan kerajaan memerlukan sedikit masa dalam memastikan semua program pemulihan berjalan lancar.

Atas alasan itu, beliau menolak sebarang gesaan untuk mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat.

“Kita harus meletakkan kepentingan ekonomi negara dan rakyat sebagai keutamaan dalam memastikan Malaysia terus memacu pertumbuhan yang lestari untuk masa-masa akan datang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.