
Katanya, tindakan itu bagi mengelak monopoli, selain memastikan kebajikan pekerja negara itu dipelihara.
Beliau berkata, Kementerian Tenaga Manusia Bangladesh menyediakan senarai 1,520 syarikat pengambilan, namun pihak kementerian bersetuju memilih 25 syarikat terlebih dulu.
“Pada mulanya, Kementerian Tenaga Manusia Bangladesh menyediakan senarai 1,520 syarikat pengambilan di mana kementerian saya memilih 25 syarikat. Sebelum pemilihan ini, terdapat hanya 10 syarikat yang terbabit dalam pengambilan pekerja dari Bangladesh.

“Sifat monopoli syarikat itu menyebabkan ramai pekerja yang terpikat dengan janji kerja yang baik sebelum dibiarkan terkandas oleh agensi dari kedua-dua negara. Jadi, bagi menjaga kebajikan pekerja, kerajaan bersetuju menambah daripada 10 kepada 25 syarikat.
“Ia bagi memastikan mekanisme semak dan imbang dilaksanakan di 25 syarikat yang ditetapkan,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Semalam, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, mendakwa agensi buruh di Dhaka, Bangladesh, menuduh pengasas Bestinet, Mohd Amin Abdul Nor, mempengaruhi kerajaan untuk hanya menghadkan bilangan agensi membekalkan buruh kepada 25 syarikat sahaja.
Justeru, beliau mendesak perdana menteri dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) mengambil tindakan pantas menangani isu penyelewengan dan kepincangan dalam perolehan kontrak kerajaan.
Saravanan ketika mengulas lanjut berkata, demi mengelak monopoli dan penganiayaan serta mewujudkan akses lebih besar kepada bakal pekerja, kementerian akan terus mengakreditasi 250 lagi syarikat daripada senarai yang disediakan oleh rakan sejawatannya di Bangladesh.
Katanya, 250 syarikat yang dipilih dan akan bekerja dalam struktur 25 syarikat terdahulu, sudah dikenal pasti.
“Secara ringkasnya, setiap satu daripada 25 syarikat itu akan diperuntukkan 10 syarikat untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem pengambilan terutamanya dalam memenuhi piawaian dan garis panduan yang ditetapkan kementerian,” katanya.
Saravanan berkata, kementerian hanya berurusan dengan 25 syarikat ditetapkan yang akan dipantau teliti bagi memastikan garis panduan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berkaitan kebajikan pekerja dipatuhi.
Beliau turut menjelaskan mengenai salah tanggapan bahawa kementerian mempunyai keutamaan terhadap negara sumber tertentu dan menegaskan, pihaknya hanya terbabit memberi kelulusan kepada syarikat untuk mengambil pekerja asing bagi memenuhi permintaan pengeluaran mereka.
“Terdapat 14 negara sumber yang mana syarikat boleh mendapatkan pekerja mereka, bukan Bangladesh sahaja. Sejak menggalas tanggungjawab menteri, saya putuskan tidak akan ada sebarang kelulusan terus atau khas, amalan berleluasa sebelum ini yang menimbulkan banyak masalah serta jejas reputasi negara.
“Selepas ini, semua kelulusan mesti datang daripada Kementerian Sumber Manusia, mengikut proses ketat sedia ada,” katanya sambil menambah pusat sehenti bagi kelulusan pekerja asing yang kini diletakkan di bawah kementeriannya sudah meluluskan sekitar 230,000 pekerja setakat, Rabu lalu.
Kelmarin, akhbar Bangladesh, “The Business Post” memetik Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh Imran Ahmed, berkata kerajaannya termasuk Sheikh Hasina tidak terbabit dalam memutuskan atau memberi kelulusan jumlah syarikat dibenarkan untuk menghantar pekerja ke Malaysia.
Imran turut mengesahkan bahawa kerajaannya tidak meletakkan sebarang had jumlah syarikat yang boleh terbabit bagi menghantar pekerja negara itu.