Lelaki ditahan tipu RM1.3 juta berkait urusan beli sarung tangan

Lelaki ditahan tipu RM1.3 juta berkait urusan beli sarung tangan

Suspek berusia 50 tahun didakwa menipu ahli perniagaan berhubung urusan pembelian sarung tangan.

Polis menahan suspek berusia 50 tahun itu susulan beberapa laporan yang diterima berhubung kes sama terhadapnya. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kes penipuan urusan pembelian sarung tangan membabitkan kerugian lebih RM1 juta pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek berusia 50 tahun itu ditahan di rumahnya di Negeri Sembilan bagi membantu siasatan.

Katanya, penahanan itu dilakukan susulan beberapa laporan polis yang diterima berhubung kes sama terhadapnya.

“Kejadian bermula awal Januari tahun lalu apabila ahli perniagaan wanita warga Vietnam berurusan dengan seorang wanita yang dapat membekalkan sarung tangan sebanyak 720 tan untuk dijual semula oleh mangsa di Vietnam.

“Mangsa sudah membuat pembayaran sebanyak 50% daripada jumlah 60 tan, iaitu bersamaan USD301,757.20 (RM1,292,124.33) ke dalam akaun yang diberi oleh wanita itu.

“Namun, selepas bayaran dibuat, wanita terbabit gagal memberikan sebarang sarung tangan dengan alasan kos penghantaran tinggi,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Beliau berkata, suspek direman sehari dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.