Kanak-kanak 4 tahun lemas di taman tema air

Kanak-kanak 4 tahun lemas di taman tema air

Kanak-kanak perempuan itu lemas di kolam bahagian kanak-kanak berkedalaman hampir 0.15m.

Bedah siasat hari ini mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, kata Ketua Polis Temerloh Mohd Azhar Mohd Yusoff. (Gambar Pexels)
PETALING JAYA:
Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun ditemukan lemas, di sebuah taman tema air, di Temerloh, semalam.

Ketua Polis Temerloh Mohd Azhar Mohd Yusoff, berkata, mangsa disahkan maut selepas lemas di kolam bahagian kanak-kanak berkedalaman kira-kira 0.15m.

Katanya, pihak polis telah menerima laporan berhubung kejadian, kira-kira 8.42 malam, semalam.

“Satu laporan polis telah dibuat oleh seorang lelaki berumur 45 tahun berkenaan kejadian anaknya meninggal dunia disebabkan lemas bertempat di taman tema air tersebut.

“Hasil siasatan polis mendapati pengadu telah pergi ke tempat tersebut pada jam 5 petang bersama keluarganya.

“Pada jam 6 petang, anak saudara pengadu memaklumkan bahawa anak perempuannya berumur empat tahun telah lemas di kolam bahagian kanak-kanak terbabit,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Katanya, mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk rawatan, namun telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

“Satu bedah siasat telah dibuat pada Ahad dan didapati punca kematian adalah disebabkan lemas. Kes telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai yang ingin mengunjungi pusat rekreasi supaya sentiasa peka berkenaan keselamatan anak-anak dan keluarga sewaktu berada di pusat rekreasi terutamanya di taman tema air.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.