Warga emas maut terperosok bawah treler

Warga emas maut terperosok bawah treler

P Rajakamaran disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Polis berkata, mangsa jatuh terperosok di bawah treler itu bersama motosikalnya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dialaminya. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Seorang warga emas maut selepas motosikalnya terperosok ke bawah treler dalam kemalangan di Semambu, Kuantan pagi semalam.

P Rajakamaran, 62, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala, manakala pemboncengnya, V Kartikhesu, 18, dan pemandu treler, Muhamad Alif Jani, 30, tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian 11.30 pagi itu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Wan Mohd Zahari Wan Busu, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika treler tanpa muatan itu dalam perjalanan dari arah Jalan Industri Semambu 6 menghala Jalan Industri Semambu 5.

Sebaik tiba di tempat kejadian, katanya, treler itu membelok ke kiri untuk memasuki simpang ke Jalan Industri Semambu 5.

“Motosikal jenis Demak EX90 yang dinaiki mangsa bersama pembonceng yang datang dari arah sama terlanggar bahagian tayar hadapan treler berkenaan.

“Mangsa jatuh terperosok di bawah kenderaan itu bersama motosikalnya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian ekoran kecederaan parah dialaminya,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.