Sirim Perak laksana pensijilan Musang King

Sirim Perak laksana pensijilan Musang King

Inisiatif itu bagi menjamin kualiti dan menstabilkan harga bagi mengelak durian jenis berkenaan dijual pada harga tidak munasabah.

Sirim dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Perak dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) sedang membangunkan piawaian standard khusus untuk pensijilan durian Musang King. (Gambar Bernama)
IPOH:
Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) Berhad Perak akan melaksanakan pensijilan durian Musang King bagi menjamin kualiti dan menstabilkan harga “raja buah” itu.

Pengarahnya, Mohd Adzhar Ahmad, berkata ketika ini pihaknya dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Perak dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) sedang membangunkan piawaian standard khusus untuk pensijilan berkenaan yang dijangka dapat dilaksanakan sebelum penghujung tahun ini.

“Setiap negara ada keperluan untuk mengimport sesuatu produk, sekiranya durian Musang King sudah ada pensijilan, tidak perlu ada banyak dokumentasi sekali gus dapat mengurangkan kerenah birokrasi.

“Selain itu, pensijilan ini juga dapat menyelaraskan harga dari segi gred durian itu jadi tidaklah durian Musang King nanti dijual pada harga tidak munasabah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pekebun Durian Negeri Perak.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pekebun Durian Perak Nor Hisham Nayan, berkata pihaknya sedang merancang beberapa inisiatif membantu pekebun durian di negeri ini meningkatkan kualiti tanaman.

Hisham berkata, beberapa kursus akan dianjurkan untuk ahli persatuan itu dengan kerjasama pelbagai agensi seperti kursus lanjutan, kursus biodiversiti serta kursus kepada pekebun baharu.

“Kita juga akan melantik ahli jawatankuasa (AJK) di setiap daerah bagi memantau keperluan ahli. Saya bersama AJK akan turun padang memberi khidmat nasihat yang disediakan persatuan mengenai penanaman durian,” katanya dengan menambah persatuan itu mempunyai 500 ahli.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.