PRU15: Warisan ‘intai’ 6 negeri, tumpu kawasan pengundi pelbagai kaum, kata Shafie

PRU15: Warisan ‘intai’ 6 negeri, tumpu kawasan pengundi pelbagai kaum, kata Shafie

Presiden Warisan berkata jika parti itu bertanding di Parlimen, kawasan DUN bawah Parlimen berkenaan akan turut ditandingi.

Kawasan berkepadatan agak tinggi dengan pengundi pelbagai kaum menjadi sasaran Warisan untuk bertanding, kata presiden Shafie Apdal.
PETALING JAYA:
Enam negeri “diintai” Warisan untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dengan tumpuan di kawasan berkepadatan agak tinggi dengan pengundi pelbagai kaum, kata presidennya, Shafie Apdal.

Katanya, selain Negeri Sembilan, parti itu berhasrat meletakkan calon di Perak, Johor, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang, termasuk di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kita tidak akan bertanding semua kerusi, kita akan memilih lokasi yang bersesuaian yang kita yakin kita boleh menang dan ada potensi. Contohnya, kalau kerusi Parlimen itu kita bertanding, kita bertanding juga untuk DUN di kawasan Parlimen berkenaan.

“Bergantung pada kepemimpinan (Warisan) di negeri. Di Perak, Datuk Seri S Sunther akan menyelaras dan mengenal pasti kawasan yang agak bersesuaian,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Setakat ini, beliau mendakwa, Warisan mempunyai lebih 1,000 ahli di Perak, membabitkan lima bahagian, iaitu Tambun, Ipoh Barat, Ipoh Timor, Parit dan Padang Rengas.

Secara keseluruhan di Semenanjung, katanya, parti berkenaan mempunyai kira-kira 8,000 ahli yang sudah mendaftar termasuk di Johor dan Selangor.

“Bukan senang untuk parti baharu bertanding. Selepas pilihan raya nanti, kita lihat bagaimana perjalanan parti dan buat masa ini kita masih dalam proses hendak memperkuatkan Warisan itu sendiri,” katanya.

Pada pilihan raya negeri (PRN) Johor Mac lalu, Warisan buat kali pertama bertanding di luar Sabah, iaitu enam kerusi, membabitkan DUN Pekan Nanas, Bekok, Mahkota, Johor Jaya, Bukit Batu dan Permas, namun tewas semua.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.