Dakwaan Lam Thye keluar parti kerana saya ‘penipuan besar’, kata Kit Siang

Dakwaan Lam Thye keluar parti kerana saya ‘penipuan besar’, kata Kit Siang

Veteran DAP itu juga menafikan dakwaan Lee Lam Thye beliau mengkhianatinya sehingga memaksanya mengundurkan diri daripada parti itu.

Lee Lam Thye mendakwa Lim Kit Siang memaklumkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Bintang yang disandangnya selama empat penggal, pada pilihan raya umum 1990.
PETALING JAYA:
Veteran DAP, Lim Kit Siang, menafikan dakwaan Lee Lam Thye yang menyatakan beliau patut dipersalahkan berhubung pengundurannya daripada parti itu 30 tahun lalu sebagai “penipuan besar”.

Ia susulan pelancaran autobiografi Lee – “Lee Lam Thye: Recalling a Lifetime of Service” – antara lain turut mendakwa Lim “mengkhianatinya” dan membawa kepada pengumuman persaraan politiknya, pada 29 Sept 1990.

Lam Thye mendedahkan dalam bukunya, beliau meninggalkan parti itu selepas dimaklumkan pimpinan tertinggi dirinya akan dibuang daripada kerusi Parlimen Bukit Bintang, di mana beliau berkhidmat selama empat penggal.

Bagaimanapun, Lim berkata, dakwaan dibuat Lam Thye disifatkan sebagai tidak benar, sambil menyatakan beliau memujuknya kembali semula kepada parti.

“Perkara ini adalah satu penipuan besar kerana saya tidak pernah memberitahu Lam Thye yang dia tidak boleh bertanding di Bukit Bintang lagi, dan tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk Lam Thye bertanding di mana-mana kerusi, selain daripada Bukit Bintang sebelum pilihan raya umum 1990.

“Amat mengecewakan apabila Lam Thye membuat penipuan sebegini dalam autobiografinya untuk menjelaskan mengapa dia bersara daripada politik.

“Sehingga hari ini, 32 tahun kemudian, saya masih tidak tahu mengapa Lam Thye berhenti daripada politik di ambang pilihan raya umum 1990,” kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dalam kenyataan.

Lim berkata, dalam semakan rekod ucapannya sehari selepas Lam Thye mengumumkan persaraannya daripada politik, beliau berkata, walaupun berbeza gaya politik masing-masing, beliau menganggap perbezaan itu melengkapi satu sama lain dan DAP terbentuk menerusi gaya politik berbeza.

“Terdapat cubaan sekian lamanya untuk mewujudkan perpecahan antara kita semua kerana perbezaan gaya politik masing-masing, tetapi saya sentiasa menganggap gaya politik kita semua yang berbeza ini melengkapi antara satu sama lain.

“…dan DAP yang ada hari ini adalah terbentuk daripada gaya politik berbeza kita semua ini,” katanya memetik ucapannya pada majlis DAP, di Batu Pahat susulan pengunduran mengejut Lam Thye.

Lim berkata, semua cubaan untuk memujuknya agar tidak meninggalkan parti juga gagal.

“Saya telah adakan empat mesyuarat dengannya untuk memujuknya mengubah fikiran. Saya juga telah membuat beberapa perbincangan melalui telefon mengenai perkara ini, dan selepas satu panggilan telefon sewaktu tengah malam pada Khamis, saya fikir saya telah melihat cahaya di penghujung terowong dan Lam Thye bersedia untuk mempertimbangkan semula kedudukannya.

“Perkara ini terbukti salah, dan pada Sabtu, Lam Thye mengumumkan yang dia akan bersara daripada politik,” kata Lim.

Menurut Lim, persaraan politik Lam Thye dibuat pada September 1990 di mana 10,000 orang berdemonstrasi mengenai isu tol di Cheras dan seminggu sebelum Parlimen dibubarkan, pada 21 Okt 1990, yang ketika itu Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.