Bersatu Kedah akan lapor SPRM berdasarkan keterangan saksi kes Zahid

Bersatu Kedah akan lapor SPRM berdasarkan keterangan saksi kes Zahid

Saksi pendakwaan ke-17, David Tan memberitahu mahkamah semalam bahawa Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal menerima dana daripada UKSB.

Ketua Penerangan Bersatu Kedah, Khairul Anuar Ramli berkata, laporan kepada SPRM itu bagi memastikan siasatan telus dan adil dapat dijalankan segera.
PETALING JAYA:
Bersatu Kedah akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdasarkan keterangan seorang saksi dalam perbicaraan rasuah Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa beberapa ahli politik menerima dana daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

Ia susulan saksi pendakwaan ke-17 yang juga bekas pengurus pentadbiran UKSB, David Tan memberitahu mahkamah semalam bahawa Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal menerima dana daripada syarikat itu.

Tan dilaporkan berkata, beliau menyimpan lejar bayaran yang dibuat kepada Zahid antara 2014 hingga 2018, yang turut mengandungi nama “menteri, ahli politik dan penjawat awam”, antaranya Muhyiddin, Shafie, bekas menteri luar Anifah Aman dan bekas timbalan menteri luar Reezal Merican Naina Merican.

Bagaimanapun, Muhyiddin menafikan menerima sogokan RM1.3 juta daripada UKSB antara Jun hingga Ogos 2018 dan bersedia disiasat SPRM.

Ini kerana, katanya, pada tarikh tertentu dinyatakan saksi berkenaan, beliau sedang menjalani pembedahan kanser dan kemudian bercuti beberapa bulan untuk rawatan lanjut.

Ketua Penerangan Bersatu Kedah, Khairul Anuar Ramli berkata, laporan itu bagi memastikan siasatan telus dan adil dapat disegerakan.

Dalam jemputan yang diterima media, Khairul difahamkan akan membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM Kedah esok.

Beliau juga berharap ahli politik yang disebut saksi pendakwaan itu, iaitu Khairy Jamaluddin, Reezal Merican, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein dan Anifah mengikut jejak Muhyiddin dengan tampil membuat penafian.

Katanya, Bersatu adalah satu-satunya parti yang meletakkan perjuangan menentang rasuah dan salah guna kuasa dalam perlembagaan parti.

“Hal ini menunjukkan kita tegas dan serius dalam menentang rasuah dan salah guna kuasa,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.