
LPF dalam kenyataan menjelaskan, filem itu telah diluluskan dengan arahan pengubahan sewajarnya, namun pengedar filem tidak bersetuju untuk mematuhi arahan berkenaan.
“LPF telah menonton tapis filem ‘Lightyear’ dan memberikan keputusan lulus dengan pengubahan (LDP) berserta klasifikasi P13 pada 30 Mei lepas.
“LPF mengarahkan dibuat pengubahan (potongan) bagi adegan dan disenyapkan (mute) dialog yang didapati mengandungi elemen mempromosi gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang melanggar aspek utama dalam Garis Panduan Penapisan Filem, Kementerian Dalam Negeri 2010.”
Berdasarkan peruntukan Akta Penapisan Filem 2002 [Akta 620] dan Garis Panduan Penapisan Filem, Kementerian Dalam Negeri 2010, aspek yang akan dipertimbangkan LPF sebelum meluluskan kandungan filem atau bahan publisiti filem termasuk keselamatan dan ketenteraman awam, keagamaan, sosiobudaya, dan ketertiban serta ketatasusilaan.
Menurut kenyataan itu, LPF akan terus komited melaksanakan tanggungjawab penapisan filem dan bahan publisiti filem yang ditayangkan atau dipamerkan untuk tontonan masyarakat umum di Malaysia.
LPF juga bertegas tidak akan berkompromi dengan kandungan filem yang mempromosi atau cuba menormalisasi unsur LGBT yang bertentangan dengan dasar negara yang tidak mengiktiraf gaya hidup LGBT.
Sebelum ini, filem “Lightyear” menjadi perbualan di media sosial kerana tidak akan ditayangkan di 14 negara Timur Tengah dan Asia, termasuk Malaysia kerana mengandungi babak berunsur budaya songsang LGBT.
Filem itu, yang sepatutnya membuka tirai di pawagam hari ini, merupakan prekuel kepada francais Toy Story yang diiktiraf oleh Pixar dan berkisar mengenai seorang renjer legenda angkasa.