
Beliau menerima memorandum daripada Badan Peguam dan berjanji akan menyerahkannya kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Presiden Badan Peguam, Karen Cheah, yang berpelukan dengan Mas Ermieyati setibanya timbalan menteri itu berharap memorandum berkenaan akan diserahkan kepada perdana menteri secepat mungkin.
“Kami mahu mengucapkan terima kasih kepada anda semua yang hadir. Kami akan bersurai sekarang,” Cheah memberitahu hadirin yang berhimpun di Padang Merbok.
Terdahulu, ketika berucap di hadapan peguam dan penyokong mereka, Mas Ermieyati berkata, Cheah ialah kawan lamanya dan mengucapkan terima kasih atas kerjasama mereka dengan pihak berkuasa.
“Saya percaya keadilan akan dapat ditegakkan.”
Setiausaha Badan Peguam, Anand Raj berkata, memorandum itu menggesa Putrajaya menegakkan kebebasan kehakiman dan menjadikan undang-undang lebih jelas mengenai perkara itu, jika perlu.
Terdahulu, rundingan Badan Peguam dengan polis untuk berarak “demi kebebasan kehakiman” sehingga ke bangunan Parlimen tidak membuahkan hasil.
Polis hanya membenarkan 20 peguam berarak ke bangunan Parlimen untuk menyerahkan memorandum, tetapi ia tidak dipersetujui oleh Badan Peguam.
Peguam yang berkumpul cuba meneruskan perarakan, tetapi gagal menembusi barisan anggota polis yang membentuk penghadang di kedua-dua hujung tempat letak kenderaan Padang Merbok.
Kira-kira 500 peguam berhimpun untuk menyertai perarakan itu, termasuk bekas peguam negara, Tommy Thomas dan ahli politik daripada parti seperti DAP, PKR dan Muda.
Perarakan untuk “kebebasan kehakiman” itu dianjurkan Majlis Peguam bertujuan menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung “intimidasi” terhadap badan kehakiman, terutamanya membabitkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap hakim Mahkamah Rayuan, Nazlan Mohd Ghazali.
Siasatan SPRM terhadap Nazlan dibuat berikutan laporan mengenai wang lebih RM1 juta yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya. Kertas siasatan berhubung isu itu telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Badan Peguam berkata, siasatan itu perlu mematuhi prosedur Perlembagaan yang memperuntukkan bahawa aduan berhubung dakwaan salah laku kehakiman perlu dikendalikan dengan cara yang menjamin keyakinan berterusan orang ramai terhadap badan kehakiman.