
Presidennya Karen Cheah berkata, mereka mengikut segala prosedur yang sewajarnya dan menyerahkan dokumen diperlukan sebelum mengadakan perhimpunan, sambil menambah polis tidak ada alasan munasabah untuk menghalang mereka.
“Polis gagal menunaikan tanggungjawab mereka bagi memudahkan hak rakyat untuk berhimpun secara aman seperti dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Ini merupakan satu bentuk penyalahgunaan kuasa kerana mereka bukan sahaja tidak memudahkan perarakan kami, malah cuba sedaya upaya untuk menakut-nakutkan kami,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan itu pagi tadi.
Cheah berkata, Majlis Peguam akan mengumpulkan segala fakta, gambar mahupun video perhimpunan itu sebagai bukti kekasaran polis.
“Kami selaku Majlis Peguam, tidak ‘takut’ untuk mengambil tindakan jika ada keperluan. Kami pasti akan membawa isu ini ke mahkamah” katanya.
Cheah berkata, Majlis Peguam akan melakukan pertimbangan sama ada mengambil tindakan terhadap polis yang melanggar kewajipan berkanun yang tertakluk bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
Kira-kira 500 peguam berhimpun untuk menghadiri perarakan itu, dengan perancangan menyerahkan memorandum kepada kerajaan bagi menegakkan kebebasan badan kehakiman.
Perarakan itu dianjurkan untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap ketidakpercayaan berhubung sistem kehakiman negara, khususnya siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Nazlan Mohd Gazali.
Majlis Peguam mengadakan rundingan dengan pasukan polis tetapi rundingan tersebut tidak membawa sebarang hasil sedangkan pihak berkuasa hanya mahu membenarkan 20 orang peguam yang berarak ke bangunan Parlimen, yang ditolak oleh badan tersebut.
Mereka cuba meneruskan perarakan tetapi segala laluan utama tempat letak kereta Padang Merbok dihalang polis.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Mas Ermieyati Samsudin kemudian tiba di tempat kejadian, seterusnya menerima memorandum daripada Cheah.
Mas Ermiyatie berkata, beliau akan menyerahkannya kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Undang-undang) Wang Junaidi Tuanku Jaafar.