Kami dihalang, tak yakin memorandum sampai kepada menteri, PM, kata aktivis

Kami dihalang, tak yakin memorandum sampai kepada menteri, PM, kata aktivis

Ambiga Sreenevasan berkata cara polis menghalang peserta pada perhimpunan itu mengejutkan sedangkan rakyat mempunyai hak untuk berhimpun.

Aktivis dan peserta ‘Walk for Judicial Independence’ tidak puas hati apabila gagal menyerahkan sendiri memorandum bantahan ke bangunan Parlimen.
KUALA LUMPUR:
Peguam yang juga aktivis, Ambiga Sreenevasan tidak puas hati dengan pengumuman Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Mas Ermieyati Samsudin yang menerima memorandum dan memaklumkan akan menyerahkan kepada menterinya Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

“Kami pun tidak tahu sama ada timbalan menteri itu akan membawa memorandum kepada perdana menteri dan menteri undang-undang seperti dijanjikan tadi.

“Cara polis menghalang kami tadi juga memang mengejutkan saya sedangkan kami mempunyai hak untuk mengadakan perhimpunan aman,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, peguam yang juga peserta perhimpunan Hana Keerthana, 29, berkata jika kerajaan benar-benar mahu menerima memorandum berkenaan mengapa tidak membenarkan peserta berhimpun.

Hana Keerthana.

Katanya, polis juga tidak sepatutnya memperlakukan dan menyekat mereka kerana tindakan berhimpun hanya untuk mempertahankan hak sendiri.

“Kami peguam, kami tahu segala akibatnya sekiranya kami melakukan kesalahan. Kami tidak bawa apa-apa senjata, tolong jangan buat seolah-olah kami ini ‘terrorist’,” katanya.

Goh Han Koon.

Seorang lagi peguam, Goh Han Koon, 35, turut mempersoalkan sama ada kerajaan mempunyai kuasa untuk menentukan keputusan memorandum yang diserahkan itu bagi pihak mereka.

“Kenapa timbalan menteri undang-undang perlu turun sendiri ke sini hanya untuk membuat pengumuman? Kenapa timbalan memberi tidak memberi arahan supaya polis tidak menghalang laluan? soalnya sambil menambah mereka sepatutnya berjalan ke Parlimen menyerahkan sendiri memorandum itu kepada menteri.

Kira-kira 500 peguam berhimpun untuk menghadiri perarakan itu, namun mereka berdepan kehadiran anggota polis yang ramai di Padang Merbok.

Antara yang hadir untuk menyertai perarakan itu adalah bekas peguam negara Tommy Thomas dan ahli politik daripada DAP, PKR dan Muda.

Perarakan “Walk for Judicial Independence” itu dianjurkan Majlis Peguam bertujuan menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung “intimidasi” terhadap badan kehakiman, terutama membabitkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Rayuan Nazlan Mohd Ghazali.

Siasatan SPRM terhadap Nazlan dibuat berikutan laporan mengenai jumlah lebih RM1 juta yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya. Kertas siasatan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.