
Katanya, PBS telah menunjukkan kemampuannya menyesuaikan diri dengan pelbagai perubahan iklim politik.
“PBS sudah wujud selama 37 tahun dan parti ini telah mengharungi ujian masa tanpa melalui proses penjenamaan semula. Parti ini telah menjadi jenama tersendiri yang boleh kita banggakan, tiada keperluan untuk menukarkan nama itu.
“Sebaliknya, apa yang penting ialah memastikan parti kekal cergas mengikut keadaan semasa dan semua ahli memahami sepenuhnya serta menjiwai perjuangan supaya kita boleh menjawab dengan fakta sebarang kritikan yang dilemparkan terhadap parti,” katanya pada program jelajah penerangan PBS.
Joniston berkata, PBS kini berada di landasan betul dan menggesa semua ahli menanam rasa bangga berjuang bersama parti.
Katanya, dengan perjuangan yang penuh kebanggaan, ahli akan mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi untuk mempertahankan parti dan kepimpinannya.
“Penting juga untuk kita kekal bertenaga agar menjadi lebih agresif terutama di media sosial. Kita tidak harus bersikap defensif tetapi bersedia membidas tohmahan,” katanya.
Beliau berkata, ahli juga perlu berani bersuara dan memberi teguran kepada pucuk pimpinan sekiranya ada sebarang kesalahan atau kelemahan.
“Kepimpinan parti juga perlu bersikap terbuka menerima kritikan daripada ahli, inilah reformasi diperlukan supaya kita semua dapat bekerjasama memartabatkan lagi kekuatan PBS,” katanya.