Siasatan audit forensik pemilihan PKR perlu dipercepat, kata Anwar

Siasatan audit forensik pemilihan PKR perlu dipercepat, kata Anwar

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata ini kerana fokus utama parti itu adalah untuk menyiapkan jentera parti dalam berdepan pilihan raya.

Anwar Ibrahim berkata kekuatan PKR adalah berani untuk menyiasat aduan-aduan yang diterima berkaitan pemilihan parti itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Presiden PKR, Anwar Ibrahim menggesa agar siasatan oleh pasukan pakar digital berhubung audit forensik pemilihan parti itu dipercepatkan dan tidak dibiarkan berlarutan.

Beliau berkata, ini kerana fokus utama parti itu adalah untuk menyiapkan jentera parti untuk menghadapi pilihan raya.

“Kalau bicara soal ketelusan, soal integriti kita jangan belajar daripada penipuan lain-lain parti yang tidak berani bila sebut tentang audit forensik…mereka takut. (Tetapi), kita tidak.

“Kalau ada (kesalahan), itu soalan. Kena teliti. Cuma kita minta mereka percepatkan supaya jangan berlarutan,” katanya di Facebooknya.

https://youtu.be/0jFT0tcMml0

Beliau berkata demikian bagi mengulas siasatan audit forensik dalam pemilihan PKR.

Pada 10 Jun lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata, pihaknya memerlukan sedikit masa untuk memuktamadkan keputusan pemilihan parti sebelum dibentangkan pada Kongres Nasional PKR.

Susulan itu, PKR menangguhkan Kongres Nasional yang dijadualkan pada 24 dan 25 Jun ini kepada 15 hingga 17 Julai depan.

Zaliha berkata, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail memerlukan keputusan pemilihan bagi membolehkannya mengedarkan surat jemputan untuk menghadiri Kongres Nasional.

Difahamkan pejabat setiausaha agung memerlukan notis dua minggu atau 14 hari untuk memanggil kongres parti itu.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kekuatan PKR adalah sikap beraninya untuk menyiasat aduan-aduan yang diterima berkaitan pemilihan parti itu.

Katanya, ketelusan dalam parti PKR perlu dipertahankan dan ini membezakan parti itu dengan parti-parti lain apabila disebut mengenai audit forensik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.