
Pengerusi Pejuang itu berkata, Najib yang juga pengerusi lembaga penasihat Barisan Nasional (BN) berhak membuat apa juga pendapat, sebaliknya pihak lain mungkin mempunyai pendapat berbeza dengan apa yang dibangkitkan itu.
“Saya tidak relevan? Itu pendapat dia (Najib). Orang lain mungkin ada pendapat lain.
“Dia (Najib) mempunyai hak untuk menganggap sesiapa sahaja sebagai tidak relevan,” kata Mahathir ketika sidang media di ibu pejabat Pejuang hari ini.
Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan Najib pada Konvensyen BN di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) baru-baru ini yang menganggap beliau dilihat sudah tidak lagi relevan.
Najib berkata, ia dapat dilihat menerusi kempen bekas perdana menteri itu pada pilihan raya negeri (PRN) Johor, di Ayer Hitam baru-baru ini yang menyaksikan parti pimpinan Mahathir ditolak oleh rakyat apabila calonnya hilang wang deposit.
Dalam perkembangan lain, ketika ditanya bilakah tarikh sesuai diadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU15), Mahathir berpandangan ia perlu diadakan apabila penggal Parlimen tamat tahun hadapan.
“Tarikh yang sesuai ialah kalau kita ikut jadual PRU15. Tapi saya dapati pihak kerajaan nak ambil peluang (buat awal) sebab parti-parti lawan (pembangkang) tak sedia supaya diadakan PRU lebih awal supaya mereka dapat kemenangan,” katanya merujuk kepada tempoh penggal Parlimen yang tamat pada 16 Julai 2023.