
Pensyarah di Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM) Abu Sofian Yaacob berkata, GST dengan kadar yang rendah dapat mengurangkan beban rakyat dan pada masa sama membantu negara menjana ekonomi.
Menurutnya, kerajaan juga harus menunggu masa yang sesuai untuk melaksanakan semula GST agar kelemahan pelaksanaannya sebelum ini tidak berulang lagi.
“Jika kerajaan nak juga perkenalkan GST, maka bukan sekarang, mungkin dalam awal tahun depan. Lepas itu kita mulakan dengan kadar yang paling rendah, mungkin 2% atau 3%.
“Jangan ulang kesilapan dulu kerana dulu kata mungkin akan kenakan dalam 4% tetapi bila laksanakan terus 6%…semua memang terkejut. Bila 6% sama juga macam menggantikan cukai perkhidmatan, maka macam tiada perbezaan,” katanya ketika dihubungi FMT.
Sementara itu katanya, kerajaan harus mengambil kira beberapa penambahbaikan, terutama dari segi kategori barang yang dikenakan cukai dan sistem pembayaran yang dikendali Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Ujarnya, barangan keperluan asas harian boleh dikecualikan cukai atau mengenakan cukai sifar jika terdapat kemungkinan barangan tersebut akan dikenakan cukai.
“Sama ada kita kecualikan cukai atau pun kita kenakan cukai kosong, iaitu 0%. Pengecualian itu maknanya tidak dikenakan cukai, manakala 0% (bererti) ada kemungkinan akan dinaikkan, iaitu dikenakan cukai.
“Paling mustahak sebelum dilaksanakan adalah sistem sokongan kastam perlu diperbaiki. Banyak saya rasa kelemahan, satu adalah dari segi membayar balik mana-mana cukai yang telah dibayar,” tambahnya.
Terdahulu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam wawancara khas bersama kumpulan media Nikkei Asia di Tokyo dilaporkan berkata, GST dilihat mampu mengembangkan pendapatan asas negara.
Jelasnya, kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk mengembalikan sistem percukaian itu sebagai satu cara efektif menambah pendapatan negara bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat.
Bagaimanapun beliau juga berkata, langkah pelaksanaan semula sistem GST masih di peringkat kajian.