4 warga Nepal ditahan susulan video tular sokong kenyataan hina Nabi

4 warga Nepal ditahan susulan video tular sokong kenyataan hina Nabi

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Abd Jalil Hassan, berkata suspek berusia 26 hingga 27 tahun ditahan di kawasan Meru, Klang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Abd Jalil Hassan berkata, polis merampas peranti yang dipercayai digunakan untuk merakam dan memuat naik hantaran yang ditularkan.
PETALING JAYA:
Empat lelaki warga Nepal ditahan kerana disyaki terlibat dalam penularan rakaman video sekumpulan lelaki berkumpul di kuil di Batu Caves, bagi menyatakan sokongan terhadap ahli politik daripada Parti Bharatiya Janata (BJP), Nupur Sharma, yang menghina Nabi Muhammad, di India.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Abd Jalil Hassan berkata, suspek berusia 26 hingga 27 tahun itu ditahan di kawasan Meru, Klang.

“Turut dirampas peranti yang dipercayai digunakan untuk merakam dan memuat naik hantaran yang ditularkan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan menghasut.

Selain itu, kes berkenaan juga disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Dalam pada itu, Jalil berkata, polis sedang mengesan suspek yang masih bebas.

“Polis menggesa individu yang terlibat dalam rakaman video tersebut untuk tampil membantu siasatan.

“Orang ramai yang tahu mengenai kejadian juga diseru menyalurkan maklumat kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan / Undang-Undang (D5) JSJ Bukit Aman di talian 0322666071,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.