
Warga Malaysia, Kong Chiew Fook, 55, mengaku salah melakukan perbuatan cuai yang membawa kepada kematian dan kecederaan itu, lapor The Straits Times.
Kong, pengurus pembinaan di Springview Enterprises menyelia pekerjanya dalam projek membina semula sebuah kediaman dua tingkat di Aroozoo Avenue, Hougang, antara Disember 2018 hingga 2019, kata Pegawai Pendakwa Kementerian Tenaga Kerja Mohd Fadhli kepada mahkamah.
Untuk tujuan itu, beberapa struktur asal terpaksa dirobohkan, dengan pemilik rumah itu melantik jurutera profesional untuk menyediakan dokumen diperlukan termasuk pelan perobohan dan lukisan struktur. Salinannya telah diserahkan kepada Kong.
Pada 4 Mac 2019, Kong mengarahkan tiga pekerja yang hanya dikenali sebagai Santo, Ponnir, dan Ddin Shahab untuk melakukan kerja perobohan di premis berkenaan.
Mereka kemudian merobohkan tembok tepi di aras dua rumah itu, namun lantai balkoni berhampiran turut roboh dan menimpa Santo manakala Ponnir terpelanting dan jatuh. Ketika itu, Kong telah pergi ke lokasi binaan lain menyebabkan pekerjanya itu dibiarkan tanpa penyeliaan.
Pekerja lain bergegas menggunakan mesin pengorek untuk mengangkat bahagian lantai itu dan mengeluarkan Santo, namun mangsa disahkan meninggal dunia. Ponnir pula mengalami patah tulang yang teruk dan dirawat selama dua bulan di hospital.
Fadhli berkata, siasatan menunjukkan Kong telah diserahkan dokumen yang jelas menyatakan protokol kerja perlu dipatuhi, selain telah diarahkan memulakan kerja perobohan dari bumbung bagi memastikan struktur bangunan itu kekal stabil.
Bagaimanapun katanya, Kong tidak mematuhi arahan itu.