Murtad: Mahkamah sivil tolak permohonan wanita cabar keputusan Mahkamah Syariah

Murtad: Mahkamah sivil tolak permohonan wanita cabar keputusan Mahkamah Syariah

Wanita itu yang dilahirkan muslimah mendakwa tidak pernah mengamalkan Islam, malah ibunya membenarkannya memilih agama sendiri.

Mahkamah Tinggi tidak memberi alasan kenapa ia tidak mendengar permohonan wanita itu untuk semakan kehakiman.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menolak permohonan seorang wanita untuk mencabar keputusan Mahkamah Syariah yang tidak membenarkannya untuk murtad.

Hakim Ahmad Kamal Md Shahid menolak permohonan wanita berusia 32 tahun itu untuk izin mendapatkan semakan kehakiman.

Mahkamah bagaimanapun tidak memberikan alasan kenapa ia tidak mendengar permohonan wanita itu, selain mengarahkannya membayar kos RM2,000 kepada kerajaan.

Wanita itu yang dilahirkan muslimah mendakwa tidak pernah mengamalkan Islam, malah ibunya membenarkannya memilih agama sendiri.

Katanya, beliau sebelum ini memohon di Mahkamah Tinggi Syariah untuk perintah supaya dibenarkan murtad kerana mahu memeluk agama Buddha.

Sejurus memfailkan permohonannya itu di Mahkamah Syariah, beliau diarahkan menghadiri 12 sesi kaunseling.

Mahkamah kemudian menolak permohonannya untuk keluar daripada Islam, sebaliknya mengarahkannya menghadiri lebih banyak sesi kaunseling. Rayuannya di Mahkamah Rayuan Syariah turut gagal.

Wanita itu kemudian membuat permohonan di mahkamah sivil untuk membatalkan keputusan Mahkamah Syariah berkenaan, yang didakwanya melanggar Perkara 11 Perlembagaan iaitu kebebasan beragama.

Mahkamah telah mendengar hujahan pada 27 April lalu. Ketika itu peguam kerajaan berhujah keputusan Mahkamah Syariah adalah muktamad manakala mahkamah sivil tiada kuasa untuk menyemaknya.

Peguam wanita terbabit, Fahri Azzat bagaimanapun berhujah kes itu patut dibicarakan sepenuhnya. Fahri kemudian memberitahu mahkamah beliau telah diarahkan memfailkan rayuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.