Mahkamah tolak permohonan MAIPs tukar perintah hak penjagaan anak Loh

Mahkamah tolak permohonan MAIPs tukar perintah hak penjagaan anak Loh

Hakim berkata MAIPs gagal menunjukkan kepada mahkamah bahawa mereka 'diperlukan' dalam kehidupan kanak-kanak terbabit.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis mahu menukar syarat hak penjagaan anak yang diberikan kepada Loh Siew Hong dalam petisyen cerai tahun lalu.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menolak permohonan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk mendapatkan kebenaran menukar perintah hak penjagaan tiga anak ibu tunggal, Loh Siew Hong.

Hakim Evrol Mariette Peters berkata, MAIPs gagal menunjukkan kepada mahkamah bahawa ia “diperlukan” dalam kehidupan kanak-kanak terbabit.

“Anak-anak itu bukan yatim piatu. Mereka bukan milik masyarakat negeri (Perlis) dan mereka kini menetap di Selangor.

“Hubungan mereka dengan Perlis adalah ‘sementara’,” katanya.

MAIPs mahu menukar syarat hak penjagaan anak yang diberikan kepada Loh dalam petisyen cerai tahun lalu supaya majlis itu dapat menyediakan latihan dan pendidikan Islam serta zakat kepada anak perempuan kembarnya berusia 14 tahun dan anak lelaki berusia 10 tahun.

Majlis itu berkata, ia berbuat demikian kerana kanak-kanak terbabit diislamkan oleh bapa mereka di Perlis pada 7 Julai 2020.

Nama kanak-kanak terbabit tidak disebut atau gambar mereka disiarkan atas arahan mahkamah.

Peters juga berkata, dia membuat keputusan bukan berdasarkan”agama mana yang patut dianuti dan dikekalkan oleh anak-anak atau untuk ditinggalkan”.

“Keputusan mahkamah adalah mengenai pelaksanaan hak kanak-kanak,” tambahnya.

Peters kemudian membuat analogi – mahkamah adalah seperti tuan rumah dan ia mesti berhati-hati siapa tetamu yang harus “dijemput” untuk makan malam – berdasarkan kepada permohonan MAIPs untuk menjadi sebahagian daripada kes perceraian Loh.

“Saya sentiasa menegaskan bahawa permohonan untuk mendapatkan kebenaran adalah sama dengan meminta ‘tetamu’ makan malam. Ada kanak-kanak di dalam ‘rumah’ yang perlu dilindungi.

“Jika ‘tetamu’ tidak berada dalam senarai, maka ia akan membuang masa kepada mereka dan tuan rumah,” katanya.

Sementara itu, mahkamah diberitahu oleh peguam Malcolm Fernandez yang mewakili bekas suami Loh, M Nagahswaran, bahawa dia mahu bercakap dengan tiga anaknya.

Pada masa ini, Loh mempunyai hak penjagaan penuh terhadap anak-anaknya.

Fernandez menambah Nagahswaran kini sedang menjalani hukuman penjara di penjara Machang kerana kesalahan dadah.

“Dia nak jumpa anak-anak setiap Sabtu. Apa-apa platform pun ‘ok’ walaupun dalam panggilan video,” katanya.

Peguam Loh A Srimugan berkata beliau akan mendapatkan arahan lanjutnya mengenai permintaan Nagahswaran.

Peters kemudian menetapkan 4 Julai untuk sebutan kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.