Kejatuhan ranking daya saing bukti kegagalan PM, kata Guan Eng

Kejatuhan ranking daya saing bukti kegagalan PM, kata Guan Eng

Kejatuhan ranking memperkukuh keperluan untuk Putrajaya mengambil perhatian terhadap kekurangan kecekapan, kepastian dan konsistensi dalam tadbir urusnya.

Malaysia tergelincir tujuh anak tangga ke tempat ke-32 dalam kedudukan daya saing yang diterbitkan oleh Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD) 2022.
PETALING JAYA:
Pengerusi DAP Lim Guan Eng mengkritik Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berikutan kejatuhan negara dalam kedudukan daya saing dunia dan berkata, ia disebabkan kegagalan beliau mengamalkan tadbir urus yang baik.

Kenyataan Lim adalah respons kepada laporan menunjukkan Malaysia tergelincir tujuh anak tangga ke tempat ke-32 dalam kedudukan daya saing yang diterbitkan oleh Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD) 2022, berbanding ranking ke-25 tahun lalu.

Bekas menteri kewangan itu berkata, kejatuhan ranking itu memperkukuh keperluan untuk Putrajaya mengambil perhatian terhadap kekurangan kecekapan, kepastian dan konsistensi dalam tadbir urusnya.

“Laporan daya saing terbaharu ini tidak memberi petanda baik kepada ekonomi Malaysia yang dilanda kenaikan harga dan kos sara hidup yang tinggi, rasuah yang meningkat, kekurangan buruh yang teruk, ringgit yang semakin lemah, kerenah birokrasi kerajaan, kesesakan lalu lintas dan kesesakan talian komunikasi,” katanya dalam kenyataan.

Lim Guan Eng.

“Pada ketika ringgit sepatutnya mengukuh dengan harga minyak yang tinggi dan harga komoditi yang melambung terutama sawit, tetapi ringgit telah merosot ke paras terendah dalam sejarah berbanding dolar AS dan Singapura, dua daripada tiga rakan dagang terbesar negara.”

Ahli Parlimen Bagan itu mengulangi gesaannya supaya kerajaan mewujudkan dana penstabilan harga dan stok penampan bagi komoditi penting untuk mengurangkan kadar kenaikan dan pergerakan harga.

Pada masa sama katanya, pemansuhan AP import makanan tidak seharusnya diikuti dengan peningkatan birokrasi yang memperlahankan masa pemprosesan.

“Selain itu, subsidi harus segera diagihkan dan tidak ditangguhkan seperti subsidi ayam daging yang menyaksikan daripada RM730 juta yang diluluskan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi), hanya RM50 juta telah dibayar setakat akhir Mei,” katanya.

Lim juga menggesa kerajaan supaya menghentikan sindrom penafian dengan mendakwa bahawa inflasi terkawal pada 2.3% apabila angka ini disebabkan oleh harga kawalan.

“Refleksi yang lebih tepat adalah dengan melihat Indeks Harga Pengeluar yang berada pada paras 11% pada bulan April. Perdana menteri harus mengarahkan menteri turun padang untuk mendapatkan penilaian yang realistik dengan melawat pasar, bukannya pergi lawatan ke luar negara,” katanya.

Ketika Forum Ekonomi Dunia hujung bulan lalu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata, subsidi bahan api lebih tinggi, iaitu bernilai RM71 bilion tahun ini menyebabkan kadar inflasi teras lebih rendah pada 2.3%.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.