
Ia susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Isnin lalu bahawa kerajaan mengkaji konsep diyat sebagai alternatif kepada hukuman mati dan antara isu yang dilihat ialah pemakaiannya kepada penjenayah bukan Islam.
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang berkata, diyat boleh jadi ilham untuk memperkenalkan konsep pampasan sebagai ganti hukuman mati dalam undang-undang sekular agar boleh dimanfaatkan semua rakyat.
“Diyat adalah atas persetujuan pihak mangsa dan penjenayah. Jika mangsa atau keluarganya tak setuju dengan bayaran diyat, maka ia tak boleh dilaksanakan. Hakim kena cari alternatif hukuman lain,” katanya kepada FMT.
Bekas mufti Wilayah Persekutuan, Zulkifli Mohamad, menulis konsep pampasan telah pun wujud dalam kerangka undang-undang Malaysia, merujuk kepada kes Pendakwa Raya lwn Low Lu Keng.
Dalam kes itu katanya, Mahkamah Tinggi memerintahkan pesalah yang mengaku bersalah bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan atas tuduhan membunuh tanpa niat membayar RM10,000 kepada balu mangsa dengan merujuk kepada Seksyen 426 Kanun Tatacara Jenayah.
“Bezanya diyat dalam Islam bersumberkan wahyu,” katanya dalam blog.
“Namun diyat juga bukanlah suatu konsep yang begitu asing sehingga kerajaan perlu menggubal undang-undang khusus untuk melaksanakannya.”
Musa berkata, Parlimen boleh meminda Kanun Tatacara Jenayah dan Kanun Keseksaan bagi membolehkan hakim menyerahkan pilihan kepada mangsa atau keluarganya.
“Diyat akan dibayar oleh pesalah itu sendiri, iaitu apabila diyat yang dikenakan adalah sebagai hukuman terhadap perbuatan membunuh secara sengaja.
“Tetapi dalam beberapa keadaan ia akan dibayar oleh keluarganya atau yang diistilahkan sebagai ‘aqilah, iaitu dalam kes-kes pembunuhan dengan secara tidak sengaja, malah mungkin oleh kerajaan yang memerintah, iaitu dalam kes-kes penjenayah berkenaan tidak mempunyai ‘aqilah atau ‘aqilahnya itu tidak mampu untuk membayar diyat berkenaan,” katanya.
Musa turut menolak tanggapan hukuman diyat akan disalah guna oleh banduan yang kaya untuk melepaskan diri kerana hukuman itu memerlukan persetujuan kedua-dua pihak, iaitu mangsa dan penjenayah.
“Jadi tak timbul isu penjenayah kaya atau mangsa miskin…Diyat sebagai alternatif, bukan (hukuman) wajib,” katanya.
Musa turut berkata, pemansuhan hukuman mati yang akan dibentang di Dewan Rakyat pada Oktober depan perlu dilihat dari pelbagai sudut termasuk pandangan masyarakat.
Dalam pengumuman Wan Junaidi 13 Jun lalu beliau berkata, pihaknya akan membuat tinjauan awam bagi mengumpul maklum balas daripada rakyat mengenai rancangan pemansuhan itu sebelum membentangkan undang-undang tersebut di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama.
Kata Wan Junaidi lagi, jika semua berjalan mengikut perancangan, Malaysia tidak akan mengenakan lagi hukuman mati mandatori bermula Januari tahun depan.