
Zainul Rijal Abu Bakar yang juga penasihat Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) memetik tindakan segelintir individu termasuk bekas pemimpin DAP, Ronnie Liu yang mengkritik cadangan garis panduan untuk umat Islam menghadiri majlis bukan Islam.
“Walaupun garis panduan tersebut belum dimuktamadkan lagi namun bantahan telah dizahirkan dalam kelompangan pengetahuan tentang garis panduan tersebut.
“Apa yang dirangka adalah suatu garis panduan bagi menasihati umat Islam bagaimana menghadiri majlis tersebut agar aqidah umat Islam terpelihara dalam majlis berkenaan di samping mengambil kira kemajmukan rakyat Malaysia,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, Liu yang juga bekas Adun Sungai Pelek menggesa Na’im diganti selepas beliau dikritik berhubung cadangan garis panduan untuk umat Islam menghadiri majlis bukan Islam.
Dakwanya, ini bukan kali pertama Na’im mencetuskan kekecohan berhubung hal agama, memetik bantahan terhadap cadangan pada September untuk mewajibkan pensijilan halal bagi semua syarikat makanan yang tidak menghidangkan daging babi atau alkohol.
Semalam, Na’im berkata bahawa garis panduan menyentuh penglibatan orang Islam dalam majlis orang selain Islam serta kunjungan ke majlis di rumah ibadat bukan Islam masih dalam proses libat urus.
Di bawah peraturan yang dicadangkan, tidak boleh ada ucapan atau lagu dengan ‘propaganda’ atau persembahan keagamaan yang akan menghina orang Islam, manakala premis digunakan tidak boleh memaparkan simbol agama kepercayaan selain Islam.
Na’im juga berkata penganjur perlu mendapatkan kebenaran pihak berkuasa berkaitan, serta ‘pandangan’ pihak berkuasa Islam, jika majlis mereka melibatkan orang Islam.
Rijal menegaskan perkara berkenaan adalah hal melibatkan umat Islam dan masyarakat bukan Islam tidak perlu mencampurinya.
“Islam adalah sebuah cara hidup yang mencakupi aqidah syariah dan juga fekah, kesemua perbuatan umat Islam dalam gaya hidup mereka perlu menepati Al Quran dan Sunnah.
“PPMM berdiri teguh di belakang menteri agama dalam isu garis panduan ini yang pasti akan menghilangkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam mengenai tatacara kehadiran mereka di majlis berkenaan,” katanya.