Cadangan Jamal merugikan Tengku Zafrul, kata Ahli Parlimen PH

Cadangan Jamal merugikan Tengku Zafrul, kata Ahli Parlimen PH

Ahli Parlimen PH berkata Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu bukanlah individu terbaik untuk mencadangkan Tengku Zafrul sebagai calon BN untuk MB Selangor.

Jamal Yunos (kiri) berkata, Tengku Zafrul Aziz harus dinamakan sebagai calon Barisan Nasional untuk jawatan menteri besar Selangor kerana gabungan itu memerlukan ‘muka baharu’ dalam usaha merampas kembali negeri itu.
PETALING JAYA:
Dua Ahli Parlimen Pakatan Harapan percaya cadangan Jamal Yunos supaya Tengku Zafrul Aziz dinamakan calon Barisan Nasional (BN) untuk jawatan menteri besar Selangor pada pilihan raya umum (PRU15) mendatangkan keburukan kepada menteri kewangan itu.

Menyifatkan cadangan itu sebagai “jenaka” kerana percaya “tiada siapa mengambil serius mengenai Jamal”, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, undi percaya ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu untuk Tengku Zafrul hanya akan menjadikan beliau kurang popular.

“Berdasarkan reputasinya, Jamal bukanlah individu terbaik untuk membuat cadangan seperti itu. Ia merugikan Tengku Zafrul,” kata Santiago.

“Jika ada, saya rasa sokongan ini adalah satu konspirasi kerana ia menutup peluang Tengku Zafrul sebelum bertanding.”

Ahli Parlimen Subang Wong Chen berkata, beliau tidak pecaya sokongan daripada “ahli politik kontroversial” seperti Jamal akan memberi manfaat kepada imej Tengku Zafrul.

Bagaimanapun, beliau melihat laporan mengenai kemungkinan Tengku Zafrul bertanding pada PRU akan datang sebagai perkembangan positif kerana ia akan menjadikan PH “bersedia” dan berusaha untuk mengurus Selangor dengan lebih baik.

Isnin lalu, Jamal mencadangkan supaya Tengku Zafrul diangkat sebagai calon menteri besar Selangor pada PRU15 kerana katanya, gabungan itu harus menampilkan tokoh baharu yang dikenali dalam usaha merampas kembali negeri itu memandangkan sudah tiga penggal ia kecundang.

Sebelum ini dilaporkan bahawa lawatan Tengku Zafrul ke Kuala Selangor baru-baru ini dan langkah Kementerian Kewangan untuk menjadikan daerah itu sebagai “daerah angkat”, adalah petanda bahawa beliau pasti akan bertanding di kerusi Parlimen atas tiket Umno pada PRU15.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan bulan lalu mengesahkan Tengku Zafrul menjadi ahli Umno sebelum dilantik sebagai menteri pada 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.