5 suspek kes bunuh, bakar wanita bebas dengan jaminan polis

5 suspek kes bunuh, bakar wanita bebas dengan jaminan polis

Semua suspek termasuk teman lelaki mangsa dibebas dari lokap sementara polis menjalankan siasatan lanjut.

Kertas siasatan sudah dirujuk kepada timbalan pendakwa raya dan polis akan meneruskan siasatan sebelum suspek dituduh di mahkamah, menurut Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Omar Bakhtiar Yaacob.
IPOH:
Lima suspek kes wanita yang dibunuh dan dibakar di kawasan tepi sungai di Kampung Talang Hulu dekat Simpang Lawin, Kuala Kangsar, akhir bulan lalu dibebaskan dengan jaminan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Omar Bakhtiar Yaacob berkata, semua suspek termasuk teman lelaki mangsa dibebaskan dari lokap sementara pihaknya menjalankan siasatan lanjut.

“Pihak polis telah merujuk kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya dan kami akan meneruskan siasatan sebelum suspek dituduh di mahkamah,” katanya.

Sebelum ini, empat lelaki berusia 20 hingga 22 tahun ditahan selepas polis menahan teman lelaki mangsa berusia 20 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mayat wanita berusia 21 tahun dipercayai dibunuh itu ditemui dalam keadaan terbakar pada 3.05 petang, 31 Mei lepas.

Polis turut menemui seketul batu konkrit yang mempunyai kesan darah berhampiran mayat itu yang dipercayai digunakan untuk mencederakan kepala mangsa.

Hasil bedah siasat di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar mendapati punca kematian mangsa adalah akibat hentakan di kepala dengan kesan melecur yang teruk.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.