
Beliau berkata, mereka juga akan mempunyai pendapatan lebih terjamin menerusi perusahaan kebun getah yang bakal dibangunkan.
Katanya, penempatan baharu itu diusahakan kerajaan Kelantan bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB), termasuk jabatan berkaitan berdasarkan keperluan perundangan dan persetujuan penduduk terlibat.
Takiyuddin berkata, sebelum projek itu dirasmikan 12 Jun lalu, pihaknya telah mengadakan lebih 30 sesi libat urus dengan masyarakat Orang Asli dan penduduk setempat.
Tambahan katanya, kajian penerimaan awam oleh juruperunding, UKM Pakarunding Sdn Bhd pada 2018 menunjukkan tahap penerimaan projek itu oleh penduduk di tiga perkampungan meningkat kepada 80% berbanding 69.5% pada 2015.
Oleh itu, beliau berkata, tiada sebab untuk kerajaan menghentikan pembinaan projek itu buat masa ini.
Pada 7 Jun lalu, lebih 100 Orang Asli berhimpun dan menyerahkan memorandum bantahan kepada Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
Menerusi memorandum itu, mereka mendakwa projek itu akan menenggelamkan kawasan hutan seluas 5,384 hektar yang merupakan tanah adat dan wilayah Orang Asli di Gua Musang.
Selain itu, ia juga didakwa akan menenggelamkan satu daripada jalan utama keluar masuk ke kampung Orang Asli, menyebabkan masa perjalanan tiga jam sebelum ini meningkat kepada lima hingga enam jam.