Laporan berniat jahat, Ayob nafi dakwa pegawai polis terlibat sindiket dadah

Laporan berniat jahat, Ayob nafi dakwa pegawai polis terlibat sindiket dadah

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman itu berkata, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan itu kepada Telegram Edisi Siasat.

Ayob Khan Mydin Pitchay menafikan laporan mendakwa beliau pernah mengeluarkan kenyataan mengatakan ramai pegawai JSJN dan polis terbabit dalam sindiket pengedaran dadah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay menafikan laporan mendakwa beliau pernah mengeluarkan kenyataan mengatakan ramai pegawai polis terbabit dalam sindiket pengedaran dadah.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa kenyataan tersebut dikeluarkan oleh saya kepada Telegram Edisi Siasat.

“Laporan tersebut adalah rekaan semata-mata yang berniat jahat untuk menjejaskan kredibiliti di pucuk pimpinan tertinggi polis dan imej polis secara keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan.

Ayob berkata, sekiranya terdapat bukti ada pegawai dan anggota polis terlibat dengan sindiket dadah, mereka tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas.

Katanya, semua kejayaan polis adalah hasil kerjasama mantap semua jabatan dalam pasukan itu bersama jabatan dan agensi luar.

“Ianya bukan kejayaan individu. Masyarakat diingatkan tidak mudah percaya dan terpengaruh dengan sebarang kenyataan tidak berasas dan tidak ditentukan kesahihannya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.