
V Sathya, 30, akan diwakili 12 peguam, diketuai bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Gopal Sri Ram dan peguam kanan Hisyam Teh Poh Teik, kerana keseriusan isu berhubung perbicaraan dan rayuan belum selesai bagi kes penyeludupan yang turut memperuntukkan hukuman mati.
Prosiding semakan dijadualkan berlangsung di Istana Kehakiman esok dan keputusannya turut dinantikan peguam undang-undang jenayah.
Sathya gagal dalam rayuan terakhirnya terhadap sabitan dan hukuman atas dua pertuduhan penyeludupan pada 8 Feb dan memfailkan permohonan semakan dua minggu kemudian di bawah Peraturan 137 Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.
Peruntukan ini membolehkan mahkamah tertinggi mengkaji semula keputusan, penghakiman atau perintah terdahulu atas meritnya untuk mengelakkan ketidakadilan atau penyalahgunaan proses mahkamah.
Dia mahu sabitan itu diketepikan dan panel baharu mengeluarkan perintah sewajarnya, atau pembebasan, atau pendengaran semula.
Menurut aduan Sathya, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan itu tidak mengikut kes duluan.
Sathya, yang ketika itu mengikuti pengajian pengurusan risiko di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur, didakwa secara bersama teman wanitanya atas tuduhan mengedar 1.8kg dan 2.2kg Methamphetamine atau syabu, yang disembunyikan dalam dua bagasi.
Kesalahan itu dilakukan di terminal penerbangan tambang rendah ketika itu berhampiran KLIA pada 26 Sept 2013.
Teman wanitanya dibebaskan pada penutupan kes pembelaan, manakala Sathya didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati pada 27 Nov 2017. Mahkamah Rayuan turut menolak rayuannya.
Timbalan Pendakwa Raya, Parvin Hameedah Natchiar, yang mengesahkan afidavit untuk membantah permohonan semakan Sathya, berkata panel hakim mempertimbangkan rayuan itu awal tahun ini dan membuat keputusan yang betul mengikut undang-undang.
“Tiada salah laku keadilan. Dalam apa jua kes, semakan itu tidak termasuk dalam kategori alasan terhad dan keadaan luar biasa,” katanya.