
Tay menjadi mangsa selepas terpesona tawaran gaji sehingga RM9,000 di negara itu dalam bidang perjudian dan kasino, kini hidup dalam tekanan dan terancam di negara asing.
Khor kini merayu bantuan kerajaan, terutama Kementerian Luar dan polis agar membantu membawa anak lelakinya itu kembali ke tanah air.
“Anak saya bekerja secara sambilan sebagai juruteknik elektrik di sini dan dia yang diajak kawan ke Kemboja kerana gaji yang lumayan di sana, tetapi saya dan ahli keluarga yang lain telah nasihatkan agar tidak pergi, namun dia berkeras mahu ke sana sebab boleh kumpul duit serta tambah pendapatan.
“Sepanjang dia di sana, ada beberapa kali kami berhubung dan dia beritahu yang dia berada dalam keadaan baik… sehinggalah 28 Mei lepas dia hubungi kami menerusi aplikasi wechat dan maklumkan minta pertolongan kewangan USD15,000 kerana majikan dia beritahu yang dia tidak lagi sesuai untuk kerja itu.
“Wang itu adalah untuk ganti rugi dan majikan mengugut, jika gagal membayar jumlah yang diminta mereka akan jual organ dalaman anak saya… kami bimbang dan takut apa-apa terjadi kepadanya, dan sebab itu saya mohon bantuan kerajaan dan pihak berkuasa untuk selamatkan dia,” katanya memetik laporan Bernama.
Khor berkata demikian dalam sidang media anjuran Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim, di Bukit Mertajam.
Khor berkata, Tay ada memaklumkan ketika ini dia tidak lagi bekerja kerana majikannya telah membuangnya dan dia perlu meneruskan hidup, terutama membeli makanan menggunakan wang sendiri yang hampir kehabisan sekarang ini.
“Menurut (Tay) Poh Chai, semasa bekerja juga gajinya sering dipotong oleh majikan kerana mendakwa dia buat salah ketika kerja jadi setiap bulan gajinya sedikit sahaja… sekarang ini dia dikurung di satu kawasan dan sentiasa diawasi pihak majikannya,” katanya.
Abang kepada Tay, Poh Heng berkata, adiknya turut memaklumkan dia pernah diseksa dengan renjatan elektrik dan bukan hanya dia seorang rakyat Malaysia di sana, (Kemboja) malah terdapat ramai juga lagi mengalami nasib sepertinya.
Sementara itu, Steven berkata, beliau terus menghubungi pejabat Menteri Luar sebaik menerima maklumat daripada keluarga Tay yang memohon pertolongan semalam supaya tindakan segera dapat diambil.
Apr lalu, 12 rakyat Malaysia yang diperdaya dengan iklan peluang pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan yang menawarkan gaji lumayan di Kemboja, berjaya dibawa pulang ke tanah air, hasil kerjasama polis, polis Kemboja, polis ASEAN (Aseanapol) dan Wisma Putra.