Annuar arah MCMC ukur tahap sebenar kelajuan internet

Annuar arah MCMC ukur tahap sebenar kelajuan internet

Menteri komunikasi dan multimedia berkata ramai rakyat di kawasan luar bandar mengeluh dengan mutu perkhidmatan disediakan telco.

Keuntungan syarikat telekomunikasi setiap tahun sepatutnya dilaburkan semula demi menyelesaikan masalah ketersambungan perkhidmatan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa.
PUTRAJAYA:
Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melaksanakan pemetaan di seluruh negara, bagi mengukur tahap sebenar kelajuan internet dan membandingkannya dengan laporan syarikat telekomunikasi.

Menterinya, Annuar Musa, berkata masih ramai rakyat terutama di kawasan luar bandar mengeluh dengan mutu perkhidmatan disediakan syarikat telekomunikasi.

“Saya nak MCMC buat pemetaan, buat audit prestasi tahap pencapaian dan bandingkan dengan apa yang telco dah buat,” katanya semasa berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2021 K-KOMM.

Annuar berkata, MCMC perlu menggunakan undang-undang yang ada dalam akta, berkaitan terhadap pihak telco yang didapati tidak mencapai tahap sepatutnya dan mengeluarkan arahan bagi mewajibkan mereka memperbaiki mutu perkhidmatan.

Annuar Musa.

Beliau berkata, agensi di bawah kementerian terutamanya MCMC juga, perlu mengambil pendekatan baharu dan lebih agresif dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.

“Dalam negara kita, (soal) perkhidmatan kita beri pada syarikat, kerajaan keluarkan lesen. Kalau syarikat itu kata tidak boleh buat, saya tengok tiap-tiap tahun umum keuntungan, jadi untung datang dari mana? Mestilah untung datang dari pengguna-pengguna perkhidmatan mereka.

“Saya bukan anti keuntungan, tak apalah untung tapi tolonglah labur balik dan baiki masalah rakyat di kampung yang panjat pokok, panjat gunung (nak dapatkan capaian internet). Sampai bila masalah ini kita nak dengar?,” katanya.

Bercakap kepada media usai majlis, Annuar berkata pihaknya mendapat banyak maklum balas daripada rakyat tentang mutu capaian internet dan perkhidmatan jalur lebar mudah alih yang tidak seragam, dengan ada kawasan kelajuan internetnya rendah, manakala sesetengah kawasan pula hanya ada perkhidmatan dari syarikat telekomunikasi tertentu.

Sehubungan itu, beliau menggesa syarikat telekomunikasi untuk melabur semula dari keuntungan yang diterima, dalam usaha membantu kerajaan menyelesaikan masalah ketersambungan yang dihadapi rakyat.

“Kita juga tahu di peringkat penyedia perkhidmatan, mereka bertindak sebahagian besar berasaskan kepada keperluan komersil sebab mereka itu badan perniagaan, jadi antara elemen kepentingan orang ramai dan pertimbangan berasaskan perniagaan itu, ada kelompongannya yang menjadi tanggungjawab kerajaan dan MCMC untuk memastikan jurang itu tidak terlalu meluas.

“Sekarang pun mereka memang dah melabur, tapi saya minta ditingkatkan supaya mereka dapat bersama-sama membantu kerajaan menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.

Annuar berkata selain pembinaan menara telekomunikasi baharu di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela), syarikat telekomunikasi digalakkan untuk melabur dalam menaik taraf menara pencawang yang sedia ada.

Dalam perkembangan lain, Annuar berkata rundingan perjanjian perkhidmatan antara syarikat telekomunikasi dengan Digital Nasional Bhd (DNB) bagi pelaksanaan rangkaian 5G negara masih berjalan.

“Saya mempunyai keyakinan yang tinggi semua syarikat telco tidak mahu ketinggalan dalam menyediakan 5G, sebab itulah kita mengambil dasar menjemput semua sekali untuk menyertainya, tapi kita tak boleh paksa mana-mana syarikat untuk menyertai.

“Mana-mana syarikat yang menyertai untuk pelaksanaan, kita akan jalan terus. Kalau jumlah syarikat tidak cukup, saya akan keluarkan lesen kepada pemain-pemain baharu. Saya tidak akan menunggu sesiapa. Saya dah kata tolong fikirkan soal kepentingan nasional.

“Kita mahu pelaksanaan 5G berjalan mengikut perancangan dan kerajaan dah beri ruang kepada pemain sedia ada untuk menyertainya. Jadi kita dah bagi tarikh akhir (30 Jun depan) yang kita rasa lebih dari cukup. Biarlah mereka selesaikan perundingan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.