Tindakan tolak air guna penyodok calar imej negara, kata Peja

Tindakan tolak air guna penyodok calar imej negara, kata Peja

PSM menjelaskan tidak mengeluarkan arahan supaya penyodok dan kadbod digunakan untuk mengalirkan air keluar dari padang sebelum aksi kelayakan itu.

Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu berkata air bertakung di padang Stadium Bukit Jalil, Sabtu lalu, bukan kelemahan sistem perparitan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu berharap agar tindakan mengalirkan air hujan di Stadium Nasional Bukit Jalil secara ‘manual’ menggunakan penyodok dan kadbod tidak berulang lagi.

Memetik laporan Awani, Faizal menyifatkan tindakan sedemikian akan memberi imej yang tidak baik kepada negara.

Beliau berkata, apa yang berlaku bukan disebabkan kelemahan sistem perparitan padang, tetapi, masalah paling besar ialah perubahan iklim yang ketara apabila pada petang sebelum perlawanan tersebut, hujan lebat.

“Sebelum itu, ada satu perlawanan lain iaitu di antara Bangladesh dan Turkmenistan, jadi pada 8 malam, memang seluruh padang air bertakung.

“Kita juga lihat air diserap melalui sistem ‘drainage’ yang agak berfungsi dengan baik. Pada pandangan PSM (Perbadanan Stadium Malaysia), jika diberi sedikit masa (perlawanan ditangguh seketika) lagi, padang itu boleh berada dalam keadaan lebih baik berbanding sebelumnya.

“Namun, perlawanan pasukan negara kita dan Bahrain perlu diadakan mengikut tepat pada waktunya seperti yang jadual, menyebabkan isu ini yang telah dibangkitkan,” katanya.

Semalam, PSM menjelaskan tidak mengeluarkan arahan supaya penyodok dan kadbod digunakan untuk mengalirkan air keluar dari padang sebelum aksi kelayakan itu.

Katanya, tindakan mengeluarkan air secara manual tidak sepatutnya dilakukan kerana stadium tersebut mempunyai sistem perparitan yang berfungsi dengan baik untuk mengalirkan air yang bertakung di padang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.