
Ketua Polis Klang Utara S Vijaya Rao, berkata pihaknya menerima laporan mengenai insiden pergaduhan di kawasan itu, pada 9.47 pagi.
Beliau berkata, ketika pasukan polis tiba di tempat kejadian, didapati terdapat mayat seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah.
“Siasatan mendapati lelaki itu warga tempatan berusia 47 tahun dipercayai diserang dan ditetak dengan parang oleh beberapa lelaki.
“Mangsa yang bekerja sebagai penarik kereta itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di badan, kedua-dua tangan dan kepala,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Beliau berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Susulan kejadian itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan dengan kes ini tampil ke Bahagian Siasatan Jenayah IPD untuk memberi sebarang maklumat berkaitan,” katanya.