
Zhemin, yang juga bekas pengarah PCB, berkata laporan polis dibuat PCB terhadap dirinya merupakan tindak balas selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur, Khamis lalu.
Sebelum ini, Zhemin membuat laporan polis terhadap PCB susulan dakwaan wujud penipuan dalam skim penyusunan untuk pemiutang membabitkan aset kepunyaan syarikat itu.
Katanya, bagaimanapun pihak PCB gagal mengemukakan sebarang kesalahan jenayah yang dilakukan beliau dan menyifatkan tindakan berkenaan sekadar untuk menakut-nakutkan beliau.
“Saya lihat tindakan PCB ini sebagai usaha menakut-nakutkan serta menyerang saya yang bersuara untuk melindungi kepentingan awam dan negeri.
“Oleh itu, saya akan beri kerjasama penuh kepada pihak polis selain memberi semua maklumat yang saya ada,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Zhemin juga mendesak polis menjalankan siasatan terhadap PCB mengikut Akta Kanun Keseksaan (Akta 574) Seksyen 421 iaitu ‘pembuangan atau penyembunyian harta secara tidak jujur atau curang untuk mengelakkan pengagihan di kalangan pemiutang.’
Terdahulu, ADUN DAP itu, mendakwa PCB tidak menyenaraikan jumlah sebenar asetnya ketika memfailkan tindakan saman pemula, di Mahkamah Tinggi Ipoh, pada Jul 2020.