
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, moratorium hukuman mati mandatori yang dilaksanakan sejak 2018 dikekalkan sehingga pemansuhan hukuman itu dimuktamadkan.
“Dalam hal ini, moratorium pelaksanaan hukuman mati masih dikekalkan berkuatkuasa sehingga tindakan susulan berkaitan pelaksanaan pemansuhan hukuman mati mandatori termasuk pindaan akta-akta berkaitan dilaksanakan,” katanya pada sidang media di Putrajaya.
Menurutnya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Pejabat Peguam Negara akan mengkaji dan meneliti kebolehlaksanaan syor dikemukakan jawatankuasa khas untuk 1,342 banduan akhir terbabit.
Katanya, cadangan mereka adalah penubuhan panel khas terdiri daripada hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan, namun perkara itu perlu kepada penelitian memandangkan ia menyentuh isu Perlembagaan.
“Kita kena ingat balik hukuman mati belum dimansuhkan, orang ini sudah dihukum mati tapi ada hukuman mati tidak melihat fakta tetapi bukti sahaja,” katanya.
Wan Junaidi berkata, ketika ini, “tangan hakim” diikat dengan perundangan sedia ada.
“Sama ada bukti sudah cukup dan hakim tiada budi bicara dan diberikan hukuman mati walaupun hakim memikirkan orang ini jangan diberikan hukuman mati dan diberikan hukuman lain seperti 40 tahun penjara, tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana tangan hakim telah diikat undang-undang.
“Jadi itulah kenapa jawatankuasa khas mencadangkan tribunal dilantik dan dalam masa sama, saya akan berbincang dengan Pejabat Peguam Negara dan BHEUU mengenai implikasi Perlembagaan dan kita ketahui semua kes ini sudah sampai ke Mahkamah Persekutuan,” katanya.
Wan Junaidi berkata, pihaknya menerima banyak saranan dan cadangan berkaitan kes banduan akhir seperti pengampunan, namun banyak perkara perlu dipertimbangkan seperti keadilan kepada mangsa dan keluarga.
Katanya lagi, beliau akan bertemu dengan ketua hakim negara untuk mendapatkan pandangan sebelum keputusan berkaitan 1,342 banduan akhir itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet.