
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pada masa sama fasiliti kerajaan perlu memastikan terlebih dahulu ketersediaan dan baki stok ubat-ubatan mencukupi untuk kegunaan harian.
Beliau berkata, sekiranya perlu pesakit boleh dirujuk ke fasiliti kesihatan kerajaan terdekat untuk meneruskan rawatan.
“Namun demikian, pesakit mungkin memerlukan perubahan regimen ubat-ubatan berdasarkan ketersediaan di fasiliti kerajaan yang dirujuk.
“Pesakit boleh membeli ubat-ubatan tersebut dari farmasi komuniti dengan preskripsi dari klinik/hospital swasta berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menyatakan demikian bagi menjelaskan penyelesaian isu kekurangan bekalan ubat-ubatan di klinik dan hospital swasta serta farmasi komuniti.
Khairy berkata, beliau berharap langkah itu dapat memberi penyelesaian sementara terhadap isu kekurangan bekalan ubat-ubatan ke fasiliti kesihatan swasta.
Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) telah memulakan perkongsian maklumat senarai ubat-ubatan yang mengalami gangguan dan cadangan produk alternatif bagi ubat-ubatan tersebut dengan pihak pengamal perubatan swasta, hospital swasta dan farmasi komuniti.
Beliau berkata, langkah itu dilakukan untuk mengurangkan impak kepada situasi semasa dan penggunaan secara optimum ubat-ubatan generik lain sebagai alternatif, yang masih mempunyai bekalan di pasaran.
“Pemantauan berterusan dibuat KKM untuk memastikan ketersediaan ubat-ubatan di seluruh negara,” katanya.