Bacaan pertama RUU mansuh hukuman mati mandatori Oktober ini, kata menteri

Bacaan pertama RUU mansuh hukuman mati mandatori Oktober ini, kata menteri

Moratorium ke atas pelaksanaan hukuman mati mandatori sejak 2018 akan kekal sehingga pindaan RUU itu dimuktamadkan.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar yakin pemansuhan hukuman mati mandatori boleh dilaksanakan paling awal pada Januari depan.
PUTRAJAYA:
Pindaan rang undang-undang (RUU) memansuhkan hukuman mati mandatori akan dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Oktober ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata RUU itu termasuk dalam 11 peruntukan undang-undang.

“Mengenai pindaan ini, saya yakin Jabatan Peguam Negara sudah bersedia dengan pembentangan bacaan kali pertama pada Oktober depan.

“Saya cukup yakin bahawa tiada halangan di Dewan Rakyat dan seterusnya Dewan Negara pada Disember depan. Malah, Yang di-Pertuan Agong sangat peka dengan persoalan ini,” katanya, dalam sidang media.

Menurutnya, sebelum dibawa ke Parlimen, satu pungutan suara dalam masa terdekat akan dibuat bagi mendapatkan maklum balas dan pandangan orang awam berhubung pemansuhan hukuman mati mandatori.

“Kita akan menerima maklum balas sebagaimana kita lakukan dengan RUU Anti-Lompat Parti yang mendapat maklum balas sekitar 7,600 responden.

“Kalau berlaku tentangan (bilangan yang menolak lebih tinggi), kita akan membawa kembali pindaan kepada Jemaah Menteri untuk dibuat keputusan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya semua mengikut perancangan, negara tidak lagi mengenakan hukuman mati mandatori mulai Januari tahun depan.

Pada 8 Jun lalu, kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori dan menggantikannya dengan hukuman gantian yang tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

Wan Junaidi sebelum ini berkata Jemaah Menteri juga bersetuju cadangan hukuman gantian diteliti dan dikaji dengan lanjut, ke atas 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu kesalahan bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, dan 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara mahkamah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.