Angkat Zafrul jadi calon MB, kata pemimpin Umno Selangor

Angkat Zafrul jadi calon MB, kata pemimpin Umno Selangor

Ketua Umno Sungai Besar Jamal Md Yunos berkata tiba masa bagi BN Selangor menampilkan tokoh baharu dikenali selepas tiga penggal kecundang pada PH.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz bukan sahaja sesuai dicalonkan sebagai menteri besar Selangor, malah dijadikan ‘poster boy, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata Ketua Umno Sungai Besar Jamal Md Yunos. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Umno Bahagian Sungai Besar mencadangkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz diangkat sebagai calon menteri besar Selangor, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata ketuanya, Jamal Md Yunos.

Katanya, memandangkan Barisan Nasional (BN) negeri sudah tiga penggal kecundang, sejak 2008, dalam usaha merampas semula kerajaan negeri, tiba masa kepimpinan Umno berlapang dada menampilkan tokoh baharu dikenali, selain menjadi “poster boy”.

Beliau berkata, Umno juga diingatkan tidak membuang atau “membunuh” karakter muda seperti Zafrul kerana dianggap mempunyai masa depan cerah dan mampu memenangi hati rakyat bukan setakat pengundi muda Melayu, malah sokongan masyarakat Cina dan India.

“Pengundi muda Cina akan mengambil kira tokoh yang cemerlang dan berpengetahuan mengurus ekonomi kerana kebanyakan mereka akan mewarisi perniagaan keluarga, jadi ketokohan itu ada pada Tengku Zafrul yang mempunyai latar belakang korporat dan perbankan,” katanya kepada FMT.

Katanya, pucuk pimpinan Umno dan BN di peringkat pusat juga perlu melihat keikhlasan Zafrul untuk mencalonkan beliau, pada PRU akan datang.

Menurutnya, bagaimanapun, pencalonan Zafrul sebagai menteri besar tidak bermaksud Selangor kekurangan pemimpin muda.

“Kita ada beberapa tokoh muda seperti, Shahril Sufian Hamdan (Ketua penerangan Umno), ADUN Sungai Panjang, Mohd Imran Tamrin, ADUN Sungai Tawar, Rizam Ismail, tetapi apa salahnya ditambah seorang lagi tokoh hebat di Selangor, selain Noh Omar (ketua Umno Selangor),” katanya.

Jamal mendakwa, Zafrul merupakan ahli Umno sejak 1997 dan beliau tidak pernah menyertai parti lain, walaupun dikatakan mesra Bersatu.

“Kalau saya tidak salah, beliau mendaftar keahlian Umno di Lembah Pantai dan beliau anak kelahiran Kuala Selangor dan saya yakin dalam masa terdekat ini akan berpindah keahlian sebagai ahli Umno di Selangor,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.