
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau akan membuat penjelasan berhubung status banduan akhir itu esok.
“Saya akan membuat sidang akhbar dan kenyataan berhubung perkara ini pada 13 Jun,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Pelaksanaan hukuman mati ke atas 2,000 banduan akhir itu ditangguhkan susulan moratorium yang diumumkan kerajaan Pakatan Harapan sejak 2018 untuk mengkaji hukuman mati sebagai langkah reformasi perundangan negara.
Sementara itu, pakar perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa, Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, banduan akhir tidak terkesan dengan pemansuhan itu kerana prinsip pindaan undang-undang hanya membabitkan perkara ke hadapan, bukannya ke belakang.
“Ini bermaksud pemansuhan ini melibatkan hukuman yang bakal dikenakan terhadap mana-mana pesalah bakal dituduh, bukannya kepada yang telah dihukum, dituduh dan sedang dibicarakan di mahkamah.”
Bagaimanapun, katanya, mereka berhak mendapat hukuman lain selepas Yang di-Pertuan Agong, sultan atau raja dan Yang Dipertua Negeri memberi pengampunan terhadap kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan dan negeri masing-masing atas nasihat Lembaga Pengampunan seperti diperuntukkan dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Bagi orang kena tuduh membabitkan 11 kesalahan hukuman mati mandatori yang baharu dituduh atau sedang dibicarakan pula, kerajaan perlu mewujudkan satu akta dan mekanisme khusus sebagai transisi kepada hukuman gantian lain.
“Soalnya sekarang, apa hukuman gantian yang disebutkan menteri itu belum diputuskan kerana kajian khusus akan dilakukan berkaitan cadangan hukuman itu.”
Kelmarin, Wan Junaidi mengumumkan kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori membabitkan 11 kesalahan, dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.
Sebelas kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori antaranya Seksyen 302 Kanun Keseksaan (kesalahan bunuh), Seksyen 121A Kanun Keseksaan (Kesalahan-kesalahan terhadap tubuh Yang di-Pertuan Agong, raja atau Yang Dipertua Negeri) dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.