
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata dokumen berkenaan terdiri daripada Memorandum Jawatankuasa Perundingan Solidariti Malaysia, Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC Report).
Akta Malaysia 1963 (UK), Akta Malaysia 1963 (Tanah Melayu), Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perjanjian tambahan kepada Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia 1963.
“Dalam erti kata lain, dokumen-dokumen Perlembagaan tersebut adalah roh dan semangat MA63,” katanya dalam perutusan sempena Sambutan Hari Malaysia ke-61.
Beliau berkata, penggabungan tiga wilayah terdiri daripada Malaya atau Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah melalui MA63 merupakan batu asas hakiki menjadikan Malaysia negara lebih besar dan berkembang maju secara berimbang.
Wan Junaidi berkata, sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang dibentuk bersama Perlembagaan Malaysia menyaksikan kebersatuan tiga wilayah berkenaan.
Menurutnya, Malaysia berkembang maju selepas enam dekad melalui pelbagai cabaran dan rintangan, sebelum berdiri megah di persada dunia, dengan perpaduan merupakan tunjang utama untuk kemajuan berterusan.
Katanya, usaha mengintegrasi masyarakat berbilang kaum, budaya dan kepercayaan dari pelbagai wilayah serta latar belakang bukan tugas mudah, justeru semua rakyat diminta bersama menghayati sejarah pembentukan Malaysia.
“Marilah kita sama-sama menjulang aspirasi Malaysia menerusi fakta sejarah ini. Janganlah kita berbalah, memporak perandakan harmoni yang sekian lama terbina.”