
Dalam e-mel kepada FMT, Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkata, ujian pada 2020 melaporkan kualiti “cemerlang” – pada 96 daripada 100 mata – di tiga tapak di pulau itu, termasuk satu di tepi pantai di mana pencemaran sisa kumbahan didakwa berlaku.
Sebuah pusat peranginan dilaporkan mengepam apa yang kelihatan seperti sisa kumbahan mentah ke salah sebuah pantai di Pulau Perhentian Kecil, di mana sekumpulan pengunjung mendakwa mengalami cirit-birit selepas berenang di situ.
JAS berkata, sampel air diambil enam kali setahun dan kualiti air di Perhentian tidak pernah didapati tercemar.
Jabatan itu tidak menyatakan sama ada pemeriksaan baru-baru ini menunjukkan keputusan sama, tetapi berkata ujian sedang dijalankan.
Sisa kumbahan dibuang ke laut pada waktu malam
Avigna Krish Dyala Kumar, yang selalu menyelam di Pulau Perhentian berkata, beliau ragu-ragu dengan penemuan JAS kerana pernah melihat pantai dengan air keruh dan berbau di hampir semua lokasi.

Beliau berkata, pertumbuhan pesat pusat peranginan, chalet, dan inap desa yang tidak terkawal mengakibatkan pencemaran persisiran besar-besaran.
Avigna, yang menyiasat pencemaran tersebut sebagai sebahagian daripada projek kewartawanan bersama dua orang lain pada 2020 dan 2021, mendapati struktur di sepanjang pantai menjadi dalang terbesar, kerana mereka mengosongkan tangki septik mereka ke dalam laut pada waktu malam dan berharap air pasang akan menghanyutkan sisa tersebut.
“Kami dapati sebuah pusat peranginan terkenal, popular dalam kalangan pelancong asing di Pulau Perhentian Besar, pernah mengamalkannya. Ini kerana sehingga hari ini, Perhentian tidak mempunyai sistem pembetungan moden.
RM120 juta diperuntukkan, tetapi tiada langkah diambil
“Kira-kira RM120 juta diperuntukkan dalam Rancangan Malaysia sebelum ini bagi melaksanakan sistem pembetungan untuk pulau-pulau, tetapi tiada apa yang dilakukan,” kata Avigna, pelajar biologi marin yang kini berpangkalan di Australia.
Beliau tidak terkejut dengan berita pengunjung mengalami keracunan makanan, katanya, kerana pernah melihat sisa kumbahan mentah terapung di perairan Pantai Pasir Panjang.
“Saya berada di sana pada Julai 2020. Bau sisa kumbahan mentah ketika air surut sangat kuat. Tak mengejutkan enam (pengunjung) wanita itu jatuh sakit selepas berenang di sana,” katanya kepada FMT.

“Di Teluk Dalam, Perhentian Besar, saya dapati paip saliran panjang tertimbus di bawah pasir yang mengepam air hitam berbau busuk di tepi pantai.”
Avigna berkata, kesan jangka panjang sisa kumbahan tidak dirawat yang dilepaskan ke laut boleh membunuh apa yang disebut-sebut sebagai koleksi terumbu terbaik di negara ini, selain menyebabkan isu marin yang lain.
‘Tidak mengejutkan’ pengunjung jatuh sakit
Profesor biologi marin Aileen Tan berkata, sisa kumbahan yang tidak dirawat boleh membunuh hidupan marin kerana ia akan meningkatkan paras ammonia dalam air.
Katanya, keracunan makanan yang dilaporkan pengunjung mungkin berpunca daripada penyerapan resapan septik, yang mengandungi bakteria E.coli dan patogen berbahaya yang lain.
Tan berkata, beliau terkejut apabila mendapati pulau-pulau itu tiada sistem pembetungan moden, terutamanya apabila ia adalah taman laut, diwartakan sebagai kawasan perikanan dilindungi bawah undang-undang.
“Kami tertanya-tanya, mengapa jumlah pusat peranginan tidak terkawal dalam kawasan taman laut yang diwartakan? Mesti ada pihak memantau apa yang berlaku,” kata Tan, yang juga pengarah Pusat Kajian Samudera dan Pantai di Universiti Sains Malaysia.
“Pensampelan mesti dilakukan di kawasan pantai semasa keadaan air pasang yang berbeza untuk memberi gambaran yang lebih jelas tentang keadaannya. Anda tidak boleh kata kualiti air semuanya baik, ini sukar dipercayai.
“Sementara kita berhasrat untuk memperluas kawasan perlindungan marin daripada 5.3% kepada 10% pada masa akan datang, kita mesti menjaga kawasan yang ada terlebih dahulu supaya ia berada dalam keadaan terbaik,” katanya.